Insiden rempuhan: Suspek dikenal pasti, tiga lagi suspek diburu - Polis
Hasimi Muhamad
Februari 1, 2025 16:46 MYT
Februari 1, 2025 16:46 MYT
Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood (gambar kecil), berkata identiti ketiga-tiga individu berkenaan telah dikenal pasti. - Foto Astro AWANI/Media sosial
KUALA LUMPUR: Polis giat memburu tiga suspek utama yang disyaki terlibat dalam insiden rempuhan melibatkan dua buah kenderaan yang berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, pada Rabu lalu.
Ringkasan AI
- Polis memburu tiga suspek utama yang terlibat dalam insiden rempuhan di Jalan Klang Lama, dengan identiti mereka sudah dikenal pasti.
- Insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh).
- Polis telah merakam keterangan sembilan saksi dan menahan empat lelaki bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata identiti ketiga-tiga individu berkenaan telah dikenal pasti dan pihaknya percaya suspek masih berada dalam Lembah Klang.
Tiga individu berkenaan dikenali sebagai M Devindran, 25; M Ranjith, 19; dan M Lavindran, 27.
"Polis masih lagi memburu tiga lagi suspek utama yang terlibat dalam kes tersebut.
"Seperti kenyataan media yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Azry Akmar Ayob), meminta agar ketiga-tiga individu itu menyerah diri kepada pihak polis, di mana-mana balai polis berhampiran untuk selesaikan kes ini dengan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.
Ku Mashariman menambah, setakat ini polis telah merakam keterangan sembilan saksi bagi membantu siasatan kes tersebut, selain telah menahan lima suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video berdurasi 48 saat memaparkan dua kenderaan dipercayai sengaja merempuh sekumpulan lelaki di kawasan terbabit.
Ku Mashariman berkata, pihak polis menerima laporan pada 29 Januari daripada seorang lelaki berusia 24 tahun yang mendakwa menyaksikan sebuah Toyota Hilux dan kereta Toyota Vios dipandu secara berbahaya berhampiran kelab malam berkenaan.