Insiden pokok tumbang: Lima lokasi terlibat sekitar KL - Bomba

Astro Awani
Mei 13, 2024 18:33 MYT
Sebuah kereta dilaporkan mengalami kerosakan akibat dihempap pokok di Universiti Malaya. - Sumber foto Universiti Malaya
KUALA LUMPUR: Lima lokasi dilaporkan mengalami insiden pokok tumbang di sekitar ibu negara berikutan ribut dan hujan lebat pada Isnin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pokok tumbang mengakibatkan halangan lalu lintas dan kemusnahan harta benda termasuk kediaman.
Lapan buah kenderaan, termasuk lima buah kereta dan tiga motorsikal dilaporkan dihempap pokok tumbang di hadapan Menara Prestige di Jalan Pinang, di ibu negara. Tiada mangsa terlibat dalam insiden ini.
Di sekitar Jalan Rahmah, Taman Gembira di Jalan Kuchai Lama, JBPM melaporkan tiada mangsa yang terlibat ekoran pokok tumbang di kawasan berkenaan.
Sebuah kediaman di kawasan yang sama turut dilaporkan terjejas apabila pokok tumbang dan menghempap bumbung sebuah kediaman di situ. Insiden ini tidak melibatkan mangsa.
JBPM turut melaporkan Fakulti Perubatan dan bangunan Peperiksaan Universiti Malaya turut terjejas apabila sebuah kereta dipercayai dihempap ekoran hujan lebat di kawasan itu. Insiden ini tidak melibatkan kecederaan.
Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang dilakukan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ujar kenyataan itu.
#Pokok tumbang #universiti malaya #hujan lebat di KL #pokok tumbang di Jalan Pinang
;