Insiden pesawat terhempas: Nelayan terkejut dengar bunyi dentuman di laut

Nazialita Geynna Maharan
November 15, 2015 20:28 MYT
Keadaan pesawat ringan yang terhempas di tepi pantai Kampung Tersusun, Teluk Dalam, Pulau Pangkor pada Ahad. - Foto Astro AWANI/Mohd Helmy Ibrahim
"Saya terdengar bunyi dentuman yang agak kuat dan kami terus berlari ke tepi pantai dan sebaik tiba di sana, kami nampak pesawat itu sudah terhempas di pesisiran pantai dalam keadaan kipasnya masih berpusing," kata Azhar Shahadan.
Azhar, 46, saksi, penduduk Kampung Tersusun, Teluk Dalam,merupakan salah seorang saksi yang melihat kejadian sebuah pesawat ringan dipercayai jenis Piper 32 terhempas di tepi Pantai Teluk Dalam pada petang Ahad.
Menurut beliau, ketika kejadian dia bersama seorang lagi rakannya sedang menaiki motor kira-kira 500 meter dari tempat kejadian dan segera menghubungi pihak ambulans bagi bantuan sementara rakannya Roslan Bakar, 40-an menyelamatkan mangsa.
"Kami terus bergegas ke tempat itu dan kami dapati kesemua empat mangsa tersebut tidak mengalami kecederaan parah dan semua mangsa dalam keadaan sedar ketika kejadian.
"Saya terdengar bunyi dentuman yang kuat daripada pesawat itu, dan sebaik menoleh ke arah pantai, pesawat itu sudah terhempas sebelum kami sempat berlari ke arah pantai.
"Ketika sampai kami lihat seorang mangsa wanita sudah keluar dari pesawat itu manakala tiga lagi mangsa lelaki masih berada di dalam pesawat dan rakan membuka pintu pesawat untuk membantu mangsa keluar," katanya ketika ditemui Astro AWANI di pesisiran pantai Kg Tersusun Teluk Dalam, Pangkor pada petang Ahad.
Azhar yang bekerja sebagai seorang nelayan berkata kejadian itu adalah kejadian kedua yang berlaku di lokasi yang sama sejak 16 tahun lalu bagaimanapun kedua-dua kejadian tidak melibatkan korban nyawa.
"Saya lihat juruterbang hanya cedera ringan dan berdarah di bahagian mulut manakala tiga lagi tidak cedera namun semua mangsa dilihat dalam keadaan terkejut dan pucat," katanya lagi.
Seorang lagi penduduk, Osman Bakar,39, berkata, ketika itu dia yang baru pulang dari laut sudah dapat mengagak bunyi letupan yang didengari berpunca daripada pesawat terhempas.
"Saya lihat pesawat itu sudah terbalik dengan keadaan roda di atas dan saya turut membantu penduduk kampung membantu mangsa," katanya.
#pesawat ringan terhempas #pesisiran Pangkor #Piper 32
;