Insiden penyelam hilang di Mersing: Jurulatih selam yang ditemukan masih trauma

Bernama
April 8, 2022 15:16 MYT
Cyril berkata, siasatan yang menyeluruh disebabkan keadaannya yang lemah dan masih dalam keadaan trauma. - fotoBERNAMA
MERSING: Jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem yang ditemukan selamat di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam, masih berada dalam keadaan trauma.
Ketua Polis Daerah Mersing Superitendan Cyril Edward Nuing berkata siasatan menyeluruh tidak dapat dilakukan berikutan keadaan Grodem, 35, masih lemah dan tidak stabil.
"Kita masih tidak membuat siasatan yang menyeluruh disebabkan keadaannya yang lemah dan masih dalam keadaan trauma.
"Semalam, saya dengan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjumpa dengannya, dia masih dalam keadaan tidak stabil untuk memberi kerjasama," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.
Sementara itu, Cyril turut menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi ataupun fakta tidak tepat berhubung insiden terbabit yang dikhuatiri mengganggu proses pencarian.
"Spekulasi atau fakta tidak tepat (boleh) mengganggu dalam proses pencarian kami dan juga keluarga mangsa dan kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku.
"Sekiranya dikesan ada berlaku keadaan sedemikian termasuk menyebarkan berita-berita palsu yang (dikhuatiri) mengganggu penyiasatan kami ataupun berita tidak benar, pihak polis akan mengambil tindakan," tegasnya.
BACA: Insiden penyelam hilang di Mersing: Tindakan tegas jika sebar berita palsu
Dalam kejadian tengah hari Rabu lepas, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini.
Penyelam Hilang | Operasi Carilamat tiga mangsa hilang diperluaskan
Bagaimanapun, Grodem ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi semalam.
[INFOGRAFIK] Kronologi penyelam hilang di Mersing
Usaha mencari tiga lagi penyelam iaitu Alexia Alexandra Molina (18, warga Perancis); Adrian Peter Chesters (46, warga British) dan anaknya, Nathen Renze Chesters (14, warga Belanda), diteruskan hari ini.
-- BERNAMA
#Kristine Grodem #penyelam warga Norway #Alexia Alexandra Molina #Adrian Peter Chesters
;