Insiden pekerja lompat pagar sebuah syarikat bukan lari dari operasi - Polis
Bernama
Julai 6, 2021 05:45 MYT
Julai 6, 2021 05:45 MYT
SHAH ALAM: Insiden kononnya pekerja melompat keluar pagar sebuah syarikat kurier di Seksyen 22, dekat sini petang semalam dan melarikan diri, bukanlah kerana operasi pihak berkuasa tetapi susulan panik mendengar bunyi penggera kebakaran.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, kejadian yang berlaku sekitar 4.30 hingga 5 petang semalam itu, berpunca daripada gangguan 'false fire alarm trigger' syarikat berkenaan, dan ia dalam proses pemeriksaan sistem pendawaian.
Baharudin berkata, bunyi penggera tersebut membuatkan ramai pekerja panik dan melarikan diri, ekoran takut sekiranya berlaku kebakaran di syarikat berkenaan.
"Kejadian viral dalam video yang menunjukkan ramai pekerja lompat pagar lari dari syarikat itu petang tadi, bukan kerana operasi atau apa-apa serbuan pihak penguatkuasa.
"Memandangkan syarikat tersebut masih baru sejak diambil alih lebih kurang sebulan lalu, ramai pekerja serta pengurusan belum didedahkan dengan ilmu 'fire drill', seperti tempat berhimpun dan pelan evakuasi (sekiranya berlaku kebakaran dan bencana)," katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi 57 saat di media sosial, yang mendakwa pekerja sebuah syarikat kurier di Seksyen 22, dekat sini melompat dan memanjat pagar melarikan diri, daripada operasi yang dilaksanakan pihak berkuasa.
-- BERNAMA
#lompat pagar
#polis
#media sosial
#video
#penggera kebakaran
#Baharudin Mat Taib
#shah alam
#false alarm
#sistem pendawaian
#syarikat kurier
#melarikan diri
#panik
#Pekerja