Insiden 'nakal' hiasi PRK Kimanis
Ruzaini Zulkepli
Januari 6, 2020 06:18 MYT
Januari 6, 2020 06:18 MYT
Insiden 'nakal' menghiasi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis (P176) meskipun kempen baru memasuki hari ketiga semalam.
Terbaru, insiden calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang, yang dimarahi seorang penduduk tempatan sehingga rakaman videonya menjadi tular di laman sosial.
Video berdurasi 28 saat itu, difahamkan diambil oleh orang awam, dengan jelas menunjukkan Karim sedang berbual dengan lelaki berkenaan sebelum beliau tiba-tiba diherdik.
Astro AWANI pada malam tadi bagaimanapun berkesempatan menemui Karim bagi meminta penjelasan sebenar berhubung isu terbabit.
Jelasnya, ketika kejadian, beliau sedang berkempen dan melawat salah seorang kenalannya yang sedang sakit di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Membakut.
"Dengan niat untuk ziarah, kami berjalan menuju ke rumah beliau. Sebelum kami sampai, anaknya yang bernama Pinsul meluru, dengan suara yang agak tinggi, dan saya agak terkejut dengan reaksi sebegitu.
"Dia memarahi saya dengan perkara yang saya tidak tahu. Rupa-rupanya, dalam kumpulan kami itu, ada dua orang individu yang menurut Pinsul, menyuruh dia bekerja tetapi tidak memberinya gaji," katanya.
Jelas Karim lagi, baginya video terbabit bukan memperjelaskan reaksi sebenar memandangkan lelaki bernama Pinsul itu hanya marah kepada beberapa individu dalam rombongan mereka.
Tambahnya, selepas pihaknya membuat siasatan, mereka mendapati, lelaki berkenaan telah kecewa kerana tidak diberi jawatan sebagai ketua kampung.
"Sebenarnya, beliau tidak berniat untuk memarahi saya, tuan-tuan boleh lihat bahawa saya hanya mendengar dan menjawab apa yang disebutkan beliau itu.
"Saya tak ada niat untuk berkelahi atau bertengkar dengan orang-orang seperti itu. Cumanya, apabila diviralkan sebegitu, saya tersentaplah," katanya.
Terdahulu, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengalami senario sama apabila gambar beliau sedang memberi sedekah kepada penduduk di Sandakan disensasikan segelintir pihak sehingga mengandaikan kejadian itu berlaku ketika kempen PRK Kimanis.
Bagaimanapun, Mohd Shafie pada Isnin menafikan perkara itu dan menempelak tindakan yang dipercayai dilakukan pihak lawan untuk menimbulkan provokasi.
Sementara itu, Karim turut menyentuh sikap tidak profesional dalam kalangan pengamal media dan media sosial yang sengaja menghebahkan khabar angin tanpa berlandaskan fakta.
Tambah beliau, pihaknya bersedia menepis segala fitnah dan tohmahan melalui kempen yang meyakinkan kepada pengundi dengan memberi penerangan telus mengenai aspirasi kerajaan di Parlimen itu.
#Datuk Karim Bujang
#Kimanis
#laman sosial
#Mohd Shafie Apdal
#pilihanraya kecil
#PRK
#video
#Warisan