Insiden mercun: Ibu bapa yang harus bertanggungjawab - Childline Malaysia
Haider Yutim
Jun 23, 2015 14:14 MYT
Jun 23, 2015 14:14 MYT
Ibu bapa dan penjaga seharusnya lebih bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran anak-anak mereka selamat dan tidak terdedah kepada bahaya, kata Pengarah Projek Childline Malaysia, P.H Wong.
Mengulas tentang kejadian kanak empat tahun yang cedera parah akibat bermain mercun pada Isnin, katanya ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak mereka tentang asas keselamatan.
"Ibu bapa harus mengambil sikap berjaga-jaga, di samping mengingatkan anak-anak mereka tentang keselamatan kerana kanak-kanak usia begitu sudah mengerti tentang asas keselamatan seperti memakai tali pinggang keledar dan sebagainya," kata Wong ketika dihubungi Astro AWANI.
Selain itu, katanya kesedaran serta pendidikan tentang keselamatan juga perlu dipupuk kerana ia dilihat masih kurang di kalangan masyarakat Malaysia.
Bagaimanapun katanya tanggungjawab penuh terletak pada ibu bapa, penjaga, guru atau mana-mana orang dewasa yang mengawasi kanak-kanak ketika itu.
"Kadang-kala kanak-kanak masih tidak mengerti tentang bahaya mercun tersebut... walaupun ia telah diharamkan, tentu ada yang membelinya secara tidak sah," kata Wong.
Dalam pada itu, beliau turut menyoal kenapa sehingga sekarang, pencegahan masih tidak dapat dilakukan meskipun kejadian seperti itu berlaku setiap tahun.
Katanya semua pihak terutama sekali ibu bapa harus mainkan peranan lebih besar dalam menangani perkara ini.
Semalam, sebuah posting di laman Facebook Friends of PDRM, melaporkan bahawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun mengalami kecederaan teruk pada jarinya akibat bermain mercun.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam laman tersebut, jari tangan kiri kanak-kanak tersebut telah berkecai.
"Seorang kanak-kanak berumur empat tahun telah mengalami kecederaan parah apabila jari jemari tangan sebelah kiri hancur akibat bermain mercun "A Boom" bersama rakan-rakan di halaman rumah selepas waktu berbuka tadi.
"Maklumat yang diterima dari sahabat-sahabat group wassup DUN Tg.Sepat mengatakan, kanak -kanak tersebut telah dibawa ke klinik kesihatan Tanjung Sepat tetapi terus dibawa ke Hospital Daerah Banting. Dikhabarkan sekarang mangsa telah dibawa ke Hospital Kelang untuk rawatan lanjut.
"Kes telah menjadi viral hangat malam ini dalam group Tanjung.Sepat," tulis posting tersebut.
Insiden itu dilaporkan berlaku di Tanjung Sepat, Baning, Selangor dan telah menjadi viral dalam sebuah grup media sosial.