Insiden Low Yat: 'Semua pihak hanya ingin cari sesuap nasi'

Astro Awani
Julai 19, 2015 10:46 MYT
Insiden Low Yat kalau dibesarkan menjadi isu perkauman akan menjejaskan perniagaan di Plaza Low Yat yang juga akan impak 35 peratus kakitangan dan pemilik berbangsa Melayu. - Gambar Fail
Mana-mana pihak yang cuba mencetuskan isu perkauman berkaitan insiden Low Yat Plaza di Jalan Bukit Bintang di sini, perlu sedar bahawa insiden itu bukan soal perkauman tetapi insiden kecurian.
Ketua Unit Keselamatan Khas Plaza Low Yat, Goh Teong Huat berharap isu ini tidak diperbesarkan lagi kerana ia melibatkan bukan sahaja aspek perpaduan malah aspek ekonomi masyarakat di negara ini.
Menurut laporan akhbar Berita Harian, Goh dipetik sebagai berkata, jika benar ada unsur perkauman terlibat dalam insiden tersebut, enam kakitangannya yang berbangsa Melayu tidak akan berdiam diri membiarkan orang Melayu yang dipercayai mencuri telefon bimbit dipukul.
"Tolonglah hentikan … saya benar-benar merayu, semua pihak hanya ingin mencari sesuap nasi, bukannya ingin bergaduh kerana kami sayangkan hubungan ini.”
“Saya yakin kalau pencuri itu berbangsa Cina, dia juga akan ditahan dan kemungkinan turut dipukul orang ramai walaupun di situ dipenuhi peniaga Cina. Ini bukanlah soal perkauman tetapi kes kecurian,” katanya dipetik berkata kepada Berita Harian.
FOTO: Rusuhan di Plaza Low Yat
Pihak polis kelihatan di perkarangan Plaza Low Yat berikutan insiden pergaduhan.-Gambar fail.
Insiden ini, menurut Goh akan menjejaskan perniagaan di Plaza Low Yat yang juga terdiri daripada 35 peratus kakitangan dan pemilik berbangsa Melayu.
Beliau turut meluahkan kekecewaannya dengan berkata hubungan orang Melayu dan Cina perlu dipelihara dan berharap kemajmukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat diteruskan.
“Selepas tragedi 13 Mei 1969, saya bangga apabila orang Melayu, Cina dan India dapat terus bersatu dan dapat hidup dalam satu kumpulan majmuk yang harmoni dan berharap ini dapat diteruskan untuk selama-lamanya," tambahnya.
Goh turut menyuarakan kekesalannya terhadap pihak yang berlagak seolah-olah masih dahagakan pertumpahan darah.
Selaku ketua unit keselamatan khas di Plaza Low Yat, Goh bersama enam kakitangannya yang berbangsa Melayu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perihal keselamatan premis itu.
Selepas insiden tersebut, Goh turut mengaku yang beliau telah dihina dan didakwa sebagai pemimpin kumpulan kongsi gelap Cina semasa rundingan antara polis dan badan bukan kerajaan (NGO) perwakilan kaum Melayu, sehari selepas insiden kecurian tersebut, apabila beliau hadir untuk memberi penjelasan tentang apa yang sebenarnya berlaku.
Menurutnya, tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan.
Beliau turut menyeru pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaitkan insiden itu dengan isu perkauman untuk menghentikan perbuatan tersebut.
"Tolonglah ... jangan semarakkan lagi api perkauman yang boleh menjejaskan hubungan orang Melayu dan Cina.”
Pada Julai 11 lalu, berlaku insiden pergaduhan di Plaza Low Yat yang didakwa berpunca daripada perasaan tidak puas hati seorang lelaki yang dituduh mencuri sebuah telefon bimbit dari salah sebuah premis telefon bimbit di plaza tersebut.
Pengawal keselamatan bertindak menyerahkan lelaki itu kepada polis, lanjutan daripada itu, rakan lelaki terbabit menghubungi rakan-rakannya lain lalu bertindak memukul pekerja di situ dan memecah barang-barang di dalam kedai terbabit yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM70,000.
Dalam insiden tersebut, dianggarkan lebih 100 orang berkumpul di hadapan plaza itu sejak 8 malam, dipercayai rakan kepada lelaki yang ditahan polis itu sehingga berlakunya pergaduhan yang berlarutan ke awal pagi.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berjaya menangani keadaan di Plaza Low Yat dan keadaan dilaporkan kembali tenang.
FOTO: Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri
Sebelum itu, polis pada Sabtu telah menahan seorang remaja lelaki berusia 22 tahun, dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di pusat membeli-belah tersebut.
Suspek yang ditangkap atas dakwaan mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat tersebut mengaku tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta pada Selasa.
Tertuduh, Shahrul Anuar Abdul Aziz yang juga merupakan seorang penganggur turut dibenar diikat jamin berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin oleh Majistret.
Suspek curi telefon bimbit mengaku tidak bersalah selepas didakwa mencuri telefon bimbit di Low Yat Plaza
Dalang cetus kecoh di Low Yat masih terus diburu
#Goh Teong Huat #Low Yat #Papagomo
;