Insiden Low Yat: Ketua UMNO Bahagian Bagan ditahan
Astro Awani
Julai 15, 2015 23:15 MYT
Julai 15, 2015 23:15 MYT
Selepas blogger Papa Gomo ditahan polis atas dakwaan menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian rusuhan di plaza Low Yat, hari ini ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin turut ditahan atas dakwaan sama.
Shaik Hussein yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, ditahan pada jam 2 petang Rabu sejurus hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk memberi kenyataan berhubung insiden berkenaan.
Beliau kemudiannya dibawa ke Bukit Aman sekitar jam 4 petang untuk siasatan lanjut.
"Bagi saya kita sudah ikut undang-undang. Polis sudah bawa beliau ke Bukit Aman untuk buat satu penyiasatan tentang pekara ini, jadi kita biar polis siasat," kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
"Kami datang sebab polis kata hendak berjumpa dengannya, selepas itu difahamkan ada arahan dari Bukit Aman yang menyuruh dia (Shaik Hussein) ditahan untuk siasatan dan untuk dibawa ke Bukit Aman," kata Musa.
Tambahnya, penahanan itu dibuat atas arahan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menyiasat Shaik Hussein di bawah Akta Hasutan.
Musa berkata, walaupun kesal perkara sedemikian berlaku, beliau akur dengan undang-undang dengan meminta polis turut menyiasat dalang yang berada dalam kumpulan itu.
"Kita hendak tahu juga, siapa yang 'bocor' dalam kumpulan ini... inilah orang yang menghasut. Orang ini patut diambil tindakan sebab orang ini yang bawa perkara ini.
"Jadi insyaAllah kita juga akan buat satu laporan polis. Mungkin Datuk Shaik Hussein akan buat satu laporan polis untuk membela diri dia dan juga untuk polis menyiasat bagaimana apa yang kita bincang dalam kumpulan ini boleh terbocor," katanya lagi.