Insiden letupan di Puchong angkara militan Daish - Ketua Polis Negara
Hakim Rahman
Julai 4, 2016 16:05 MYT
Julai 4, 2016 16:05 MYT
Polis mengesahkan kejadian serangan di Kelab Malam Movida di Puchong minggu lalu adalah berpunca dari serangan kumpulan Daish, yang pertama seumpamanya di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata serangan yang menyebabkan lapan orang cedera itu dilancarkan oleh warga tempatan yang mendapat arahan dari anggota Daish Muhamad Wanndy Mohamad Jedi dari Syria.
Katanya lagi, polis juga telah berjaya menahan dua individu yang berusia 19 dan 52 tahun yang terlibat dalam melempar bom tangan pada kejadian awal pagi 28 Jun lalu itu.
"Mereka ini menerima arahan daripada Muhamad Wanndy untuk melancarkan serangan di Malaysia.
"Kedua-dua mereka ditahan di Pelabuhan Klang pada 1 Julai lalu dan dua lagi rakan subahat mereka sudah dikenal pasti identiti dan mereka kini sedang diburu," katanya dalam sidang media di Bukit Aman sebentar tadi.
Katanya, dua suspek yang sedang diburu dikenali sebagai Md Saifuddin Muji, 28, dan Jasanizam Rosni, 33, yang masing-masing beralamat di Johor.
Katanya lagi, susulan kejadian itu juga, polis sudah menahan 15 individu yang disyaki ada kaitan dengan kegiatan Daish di negara ini termasuk dua anggota polis.
Tujuh suspek ditahan di Kedah, Selangor (empat), Kuala Lumpur (dua) dan masing-masing seorang di Melaka dan Pulau Pinang.
"Kami turut merampas pelbagai senjata tajam selain barangan seperti bendera kumpulan Daish daripada suspek.
"Ini merupakan kes bom yang pertama di negara ini dan kita akan jalankan siasatan secara terperinci," katanya lagi.