Insiden lempar 'molotov cocktail': Polis kerah seluruh kekuatan kawal, kekalkan ketenteraman awam

Bernama
Mac 30, 2024 20:08 MYT
Saifuddin Nasution berkata polis memandang serius percubaan membakar KK Mart itu yang merupakan insiden kedua selepas perkara serupa berlaku di KK Mart Bidor, Perak pada 26 Mac lepas. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis akan mengerah seluruh kekuatan bagi mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di negara ini susulan insiden melempar bola api ke kedai serbaneka KK Mart Sungai Isap di Kuantan pada 5 pagi tadi.
Beliau berkata polis memandang serius percubaan membakar KK Mart itu yang merupakan insiden kedua selepas perkara serupa berlaku di KK Mart Bidor, Perak pada 26 Mac lepas.
"Tindakan undang-undang sudah diambil ke atas Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart dan pembekal stoking Xin Jian Chang Sdn Bhd. Pembekal dan penjual sudahpun didakwa di mahkamah.
"Namun kejadian ini menjadi bahaya apabila ada pihak yang mengambil kesempatan meniup sentimen agama, kaum dan kelompok untuk kepentingan tertentu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata insiden sedemikian menimbulkan keresahan penduduk setempat dan rakyat secara keseluruhan menjelang Aidilfitri.
"Keresahan rakyat ialah apakah mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan mengambil kesempatan ketika rakyat bergembira menyambut Aidilfitri dengan melempar bola api ke arah KK Mart.
"Terbukti kebimbangan kita dalam isu 3R (raja, agama dan bangsa) selama ini adalah berasas dan munasabah sekalipun dipertikai oleh sesetengah pihak dan isu stoking ini menunjukkan begitu mudah emosi serta sentimen rakyat dimainkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata walaupun tindakan menggesa dan mendorong orang ramai memboikot sesuatu jenama mungkin bukan satu kesalahan undang-undang tetapi ia adalah satu kesalahan apabila bertindak menceroboh atau cuba membakar premis KK Mart.
Justeru, Saifuddin Nasution berkata perbuatan melempar bola api boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan tetap mengambil tindakan berasaskan undang-undang demi kepentingan orang ramai.
"Saya mengajak mereka yang mendorong pemboikotan ini ikut mengambil tanggungjawab meredakan dan hentikan terus perbuatan membakar sentimen orang ramai.
"Beri ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan tugas mengesan, menangkap serta menyiasat individu yang terlibat. Biar proses undang-undang berjalan demi keamanan, ketenteraman rakyat dan negara," katanya.
-- BERNAMA
#molotov cocktail #Kementerian Dalam Negeri #polis #KK Mart Sungai Isap
;