Insiden kuil: 'Tolak racun perkauman' - seru netizen
Kohilah Sekaran
November 27, 2018 19:09 MYT
November 27, 2018 19:09 MYT
"Jangan kaitkan isu perkauman dengan insiden jenayah yang berlaku di kuil," seru netizen di media sosial susulan rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, di USJ25, Subang Jaya, Isnin lalu.
Rata-rata netizen meminta rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa untuk tidak bertindak mengikuti emosi dan membiarkan insiden itu disiasat oleh pihak berkuasa.
Mereka meminta orang ramai untuk tidak terjebak dalam 'racun perkauman' yang cuba ditimbulkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mereka juga mengambil kesempatan untuk mengingati rakan-rakan mereka yang lain bahawa perpaduan atau keharmonian perlu dikekalkan pada waktu sebegini.
Malah, ada juga yang melahirkan rasa kesal dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil dan yang telah mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat di dalam rusuhan ini.
Lima parah dalam satu pergaduhan di dalam kawasan kuil di Putra Heights, Subang pada pagi Isnin.
Kejadian yang dilaporkan berlaku kira kira jam 3 pagi Isnin itu dikatakang membabitkan dua kumpulan.