Insiden Kuil Sri Maha Mariamman: 17 lelaki tempatan ditahan

Astro Awani
November 26, 2018 05:35 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil sebelum tercetus pergaduhan antara dua kumpulan sehingga dilaporkan 18 kenderaan dibakar. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Setakat jam 12 tengah malam tadi, 17 lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan berikutan insiden di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, awal pagi semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis telah mengenal pasti kesemua individu terlibat termasuk dalang yang menjadi punca kekecohan.
"Polis turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu seperti dua bilah pedang, dua batang kayu dan dua paip getah. Sebanyak 29 laporan polis telah diterima setakat ini berhubung kejadian itu.
"Segala aspek sedang disiasat dengan telus dan kita akan ambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat," katanya sambil menambah, siasatan lanjut masih dijalankan.
Bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, malam tadi, Mohamad Fuzi berkata, enam daripada 17 yang ditahan mengalami kecederaan.
BACA: Lima parah, dua kumpulan bergaduh di kuil
BACA: Polis tahan tujuh lelaki insiden di tapak Kuil Sri Maha Mariamman
Menurutnya, seorang anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya turut cedera ketika cuba meleraikan kekecohan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil sebelum tercetus pergaduhan antara dua kumpulan sehingga dilaporkan 18 kenderaan dan beberapa motosikal dibakar.
Mohamad Fuzi turut menegaskan insiden ganas di kuil itu tiada kena-mengena dengan perbalahan kaum, sebaliknya ia menjurus kepada isu pemindahan kuil dari lokasi asal ke lokasi baharu yang jaraknya kira-kira tiga kilometer.
Oleh itu, Mohamad Fuzi meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi atau memberi komen tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan.
Berhubung dakwaan polis lewat tiba di tempat kejadian, beliau menafikan perkara itu dan menegaskan anggotanya tiba 10 minit selepas menerima maklumat.
"Tidak tepat sama sekali. Kita ada rekod. Kita ada catatan diari dan urutan perkembangan. Harap jangan buat spekulasi tidak bertempat.
"Mereka tidak tahu situasi sebenar kerana kita yang mengawal keadaan," katanya dengan tegas sambil menerangkan pihaknya menerima panggilan pada jam 2.40 pagi dan mereka tiba di lokasi kejadian jam 2.50 pagi.
"Ketua Polis Daerah (Subang Jaya) sampai kira-kira 30 minit selepas menerima maklumat," tambahnya.
Mengulas dakwaan pemilik tapak kuil, syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd, yang menafikan menjadi dalang insiden itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu.
Terlalu awal untuk membuat kesimpulan, tambahnya.
Menurutnya, proses pemindahan kuil ini bukan kali yang pertama tahun ini malah sudah tiga kali dilakukan.
Bagaimanapun, usaha yang terakhir pada empat minggu lalu gagal diteruskan kerana berlaku kekecohan.
Menurutnya, polis tidak campur tangan dan hanya berperanan untuk mengawal keselamatan.
"Sepatutnya pukul 6 pagi tadi FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dan anggota dari IPD Serdang sepatutnya berkawal di kuil tersebut bagi pelaksanaan proses pemindahan ke tapak kuil baharu, tetapi kekecohan berlaku lebih awal," kata Mohamad Fuzi.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa polis gagal mengambil tindakan menangani kekecohan itu.
Katanya, jika polis gagal melakukan demikian, keadaan mungkin menjadi lebih buruk termasuk melibatkan kematian.
"Sehubungan itu, saya minta semua pihak bertanggungjawab tidak buat kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.
"Ahli politik sepatutnya bantu redakan keadaan, bukan timbulkan kekeruhan. Ini tidak akan membantu," katanya.
#Ketua Polis Negara #polis #siasatan #Subang Jaya
;