Insiden kuil: PM akan bentang usul tergempar di Parlimen esok
Harits Asyraf Hasnan
November 28, 2018 17:15 MYT
November 28, 2018 17:15 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau sendiri akan membentangkan usul tergempar di Parlimen esok susulan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Isnin lalu.
Katanya, beliau hanya mengeluarkan kenyataan media disebabkan beliau tidak dibenarkan ke lokasi kejadian.
"Saya bagi tahu yang saya nak pergi ke situ (kuil), tapi saya dilarang, tak bagi saya pergi.
"Jadi saya buat kenyataan sahaja. Esok saya akan buat kenyataan (usul tergempar) di Parlimen," katanya semasa sidang media di Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas permohonan pihak Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman yang meminta Dr Mahathir campur tangan dalam isu tersebut.
Dr Mahathir sebelum itu melawat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim yang menjadi mangsa kekecohan di kuil tersebut tempoh hari.
Sementara itu, mengulas berkenaan dakwaan serangan terhadap anggota bomba tersebut, Dr Mahathir menyifatkan tindakan itu dilihat mempunyai niat untuk membunuh.
"Melihat kepada keadaan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya mempunyai niat untuk membunuh.
"Kita boleh ada demonstrasi, tetapi ia perlu berlangsung dengan aman, apa yang berlaku ini bukan demonstrasi, ia satu tindakan untuk membunuh bila mereka datang dengan parang dan sebagainya.
"Kita tidak ada banyak bukti, tetapi polis akan melakukan siasatan rapi untuk mengesan dalang serangan ini," katanya lagi.
#insiden kuil
#kekecohan
#kuil sri maha mariamman
#Mahathir Mohamad
#Parlimen
#Perdana Menteri
#rusuhan
#Subang Jaya
#usul tergempar