Insiden kren SUKE: Prolintas sedia beri kerjasama dengan pihak berkuasa, kontraktor patuhi SOP
Hasimi Muhamad
Mac 22, 2021 21:33 MYT
Mac 22, 2021 21:33 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali lebuh raya Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa terhadap siasatan insiden kren terjatuh sehingga mengorbankan tiga individu di projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, di sini pada Isnin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, pihaknya akan terus menambah baik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada, yang dijadual siap pada akhir tahun ini.
Jelas beliau lagi, selaku syarikat pemegang konsesi projek pembinaan Lebuhraya SUKE, Prolintas sentiasa konsisten mengingatkan kontraktor supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Prolintas dan SUKE secara konsisten mengingatkan kontraktor-kontraktor terlibat untuk mematuhi SOP serta mengambil langkah-langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan.
“Antaranya dengan mengadakan sesi ‘tool box’ atau taklimat keselamatan setiap hari sebelum memulakan tugas serta latihan penyelamat kecemasan bersama badan-badan keselamatan berkaitan secara berkala.
“Dalam pada itu, pengaktifan pelan lalu lintas yang diluluskan oleh pihak berkaitan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak berkuasa tempatan juga diperolehi dan dilaksanakan demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Jelas beliau lagi, terdapat juga audit keselamatan mingguan yang dilakukan bagi menilai kerja-kerja serta kepatuhan terhadap SOP keselamatan dan kesihatan, yang dipantau secara langsung oleh Prolintas.
Dalam pada itu, Azlan menambah Prolintas juga mempunyai pasukan dalaman yang terdiri daripada jurutera berpengalaman memantau kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor-kontraktor terlibat.
Sehubungan itu, katanya Prolintas sentiasa mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan pekerja dan orang awam.
Untuk rekod, pembinaan SUKE melibatkan sembilan kontraktor utama disamping penglibatan secara menyeluruh oleh jurutera perunding bebas dalam membuat rekabentuk, pengawasan dan penyeliaan dari pelbagai aspek.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.45 pagi Isnin.
Kejadian mengakibatkan tiga mangsa nahas dengan seorang mangsa masih tersepit, seorang cedera parah manakala dua lagi terselamat.
Mangsa yang terkorban merupakan warganegara China, yang juga pekerja projek pembinaan tersebut berusia lingkungan 30-an.
Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan.