Insiden kren SUKE: Identiti tiga mangsa maut dikenal pasti

Astro Awani
Mac 22, 2021 05:28 MYT
Tiga pekerja projek pembinaan tersebut yang berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti tiga identiti mangsa yang maut dalam insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, pagi semalam.
Pengarah JBPM Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, tiga pekerja projek pembinaan tersebut yang berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.
"Mayat Ding dan Jiang berjaya dikeluarkan pihak bomba pada 11.30 pagi (Isnin) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.
"Kerja mengeluarkan mayat Mu yang terhimpit di antara struktur besi masih dijalankan,” beliau dipetik berkata menurut laporan Bernama lewat malam tadi.
BACA: Insiden kren SUKE: Prolintas sedia beri kerjasama dengan pihak berkuasa, kontraktor patuhi SOP
JBPM Kuala Lumpur sebelum itu menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira 8.45 pagi dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah dikerahkan ke tempat kejadian.
Insiden komponen jatuh di Alam Damai
Nordin berkata, Ding dan Jiang maut selepas terjatuh dari ketinggian 36.6 meter ketika menyelenggara landasan berkenaan.
"Mangsa ketiga yang maut (Mu) terjatuh dan tersangkut di atas landasan lebuh raya sebelum tersepit di antara landasan pembinaan lebuh raya berkenaan," katanya.
Nordin berkata kerja-kerja mengeluarkan mangsa ketiga yang masih berjalan sehingga kini menghadapi kesukaran disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantriem.
Komponen Kren Jatuh | Mayat mangsa tersepit dijangka dapat dikeluarkan Selasa
BACA: Insiden kren SUKE: Laluan di Persiaran Alam Damai ditutup sehingga Ahad
Sementara itu, seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Low Zy Jing, 33, yang memandu kereta Perodua Bezza dilapor cedera parah akibat dihempap struktur kren berkenaan semasa melalui kawasan tersebut.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kejadian tersebut.
BACA: Insiden kren Lebuh Raya SUKE: Satu lagi mangsa korban dipercayai masih tersepit
"Polis telah menutup sementara laluan dan membuat lencongan di Jalan Cerdas di sini bagi mengelak kenderaan awam melalui tempat kejadian," katanya.
SUKE | Jalan tutup sehingga Ahad
#Insiden kren SUKE #suke #projek SUKE #maut projek SUKE #JBPM Kuala Lumpur #bomba KL #warga China maut #hempap kren SUKE #kren SUKE jatuh #kertas siasatan #mangsa #JBPM #polis #maut #mayat #cedera #Cheras #kren gantri terjatuh #tersepit
;