Insiden kren gantri SUKE: Rasuk konkrit boleh jatuh jika mangsa tersepit dikeluarkan

Hasimi Muhamad
Mac 22, 2021 08:02 MYT
Pihak penyelamat telah dikerahkan untuk memanjat bahagian atas bagi menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Selepas tiga jam, pasukan penyelamat dilaporkan masih berusaha mengenal pasti mekanisme untuk mengeluarkan mangsa terkorban yang tersepit di struktur kren gantri di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berdekatan Persiaran Banyan, Jalan Alam Damai, di sini.
Menurut sumber, struktur beam (rasuk konkrit) berkemungkinan jatuh sekiranya kren gantri tersebut diangkat untuk mengeluarkan mangsa.
“Pihak penyelamat boleh mengangkat kren gantri tersebut untuk mengeluarkan mangsa, namun enam beam kemungkinan akan jatuh.
“Jadi, ketika ini kami masih mencari penyelesaian terbaik untuk memastikan tahap keselamatan,” kata sumber.
Jelas beliau lagi, pihak penyelamat telah dikerahkan untuk memanjat bahagian atas bagi menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi memaklumkan seorang lagu mangsa yang terkorban di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berdekatan Persiaran Banyan, Jalan Alam Damai masih belum dikeluarkan.
Operasi penyelamat katanya berdepan sedikit kesukaran memandangkan bebanan struktur kren yang berat.
#kren gantri #kren tumbang #suke #lebuh raya #mangsa korban #lalu lintas #bomba #pasukan penyelamat