Insiden keselamatan siber Prasarana: Siasatan untuk tentukan punca, data terlibat

Bernama
September 5, 2024 22:49 MYT
Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi sedang menjalankan siasatan berhubung insiden keselamatan siber yang melibatkan infrastruktur teknologi maklumat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) pada 25 Ogos.
PUTRAJAYA: Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi sedang menjalankan siasatan berhubung insiden keselamatan siber yang melibatkan infrastruktur teknologi maklumat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) pada 25 Ogos.
Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan akan menentukan jenis pelanggaran dan data yang terlibat dalam kejadian itu.
"Ia juga akan menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dan menentukan tindakan selanjutnya yang perlu diambil dalam perkara itu," menurut kenyataan itu, dan menyatakan CyberSecurity Malaysia juga akan menyediakan bantuan teknikal dalam proses siasatan ini.
Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam kenyataan yang sama berkata penting untuk memastikan bahawa undang-undang berjalan seperti sepatutnya dan pemberitahuan pelanggaran data diterima oleh pesuruhjaya.
"Kami mempunyai undang-undang yang menekankan keperluan memastikan data peribadi dilindungi. Kita perlu tegas tentang perkara ini.
"Pesuruhjaya akan melakukan perkara yang perlu untuk memastikan siasatan menyeluruh dijalankan ke atas perkara itu dan menentukan selepas itu apa yang perlu dilakukan seterusnya," kata beliau.
Pada 25 Ogos, Prasarana mengalami insiden keselamatan siber yang melibatkan akses tanpa kebenaran kepada beberapa sistem syarikat.
Laporan mendakwa ia melibatkan serangan perisian tebusan yang dimuat naik oleh kumpulan yang menggunakan nama 'RansomHub' di laman web gelap.
Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi telah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada hari berikutnya dan kemudiannya, Prasarana telah diarahkan untuk mengeluarkan Pemberitahuan Pelanggaran Data (DBN).
-- BERNAMA
#keselamatan siber #prasarana #siasatan #Kementerian Digital #Perlindungan data peribadi
;