Insiden keracunan makanan dalam negara masih terkawal - Khairy
Bernama
November 24, 2021 17:21 MYT
November 24, 2021 17:21 MYT
PUTRAJAYA: Insiden keracunan makanan dalam negara masih terkawal dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) terus melaksanakan pelbagai program intervensi bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan dan mencegah kejadian keracunan makanan, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata menurut data KKM, 288 episod keracunan makanan dilaporkan pada 2020, manakala setakat September 2021 pula 123 episod keracunan makanan dilaporkan.
Berucap pada program Anugerah Pasar Bersih dan Selamat Peringkat Kebangsaan Tahun 2020/2021 sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia hari ini, Khairy berkata KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan bertanggungjawab memastikan makanan dan bahan mentah di pasaran tempatan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.
Menurutnya daripada lebih 45,000 sampel makanan dan bahan mentah termasuk daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di pasaran tempatan yang dianalisis hasil pemantauan KKM dari 2018 hingga Ogos lepas, sebanyak 2,654 atau 5.9 peratus sampel didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Katanya berdasarkan statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 273 pasar awam di seluruh negara pada tahun lepas memandangkan pasar merupakan tempat utama orang ramai mendapatkan sumber bahan mentah.
"Pelbagai punca pencemaran seperti mikroorganisma, kimia dan fizikal boleh berlaku di pasar sekiranya bahan mentah dan makanan tidak dikendalikan dengan bersih dan selamat," katanya.
Pertandingan Pasar Bersih dan Selamat Peringkat Kebangsaan yang diadakan dengan kerjasama KKM dan KPKT itu melibatkan 21 penyertaan akhir melibatkan 12 calon untuk kategori A iaitu pasar awam di bawah pengurusan persatuan dalam kawasan pentadbiran PBT dan sembilan calon untuk kategori B iaitu pasar swasta di bawah pengurusan pasar raya.
Bagi kategori A, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur memenangi tempat pertama diikuti Pasar Wirawati, Kuala Lumpur di tempat kedua dan Pasar Besar Tasek Raja, Pasir Mas, Kelantan di tempat ketiga.
Bagi kategori B, Pasar Raya Tesco Lotus Cheng, Melaka merangkul tempat pertama diikuti Pasar Raya AEON Klebang, Ipoh, Perak di tempat kedua dan Pasar Raya AEON Queensbay Mall, Pulau Pinang di tempat ketiga.
-- BERNAMA