Insiden kerabat Pahang didakwa pukul lelaki: 'Jika ada bukti, bawa ke mahkamah' - Tengku Hassanal

Hasimi Muhamad
September 5, 2024 19:10 MYT
Tegas Tengku Hassanal lagi, baginda sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang - Foto/Instagram story this.7
KUALA LUMPUR: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memandang serius mengenai insiden yang mengaitkan seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan individu didakwa menyerang individu dikenali sebagai Alias Awang.
Sehubungan itu, Tengku Hassanal menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz hari ini menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.
"Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan," titahnya dalam kenyataan itu.
Baginda menambah semua pihak adalah sama di sisi undang-undang
Tegas Tengku Hassanal lagi, baginda sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata tajam dan pistol.
Akibat serangan itu, lelaki itu dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Terdahulu, polis mengesahkan sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya berhubung insiden berkenaan.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, beberapa individu sudah ditahan berhubung kes terbabit dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selain beberapa saksi lain telah dipanggil untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan kes tersebut.
Yahaya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.
#Tengku Hassanal #Kerabat Diraja Pahang insiden pukul
;