Insiden kepala air: Wanita maut, 3 kanak-kanak dikhuatiri hilang di Bidor

Aida Aziz
Februari 7, 2024 18:39 MYT
Wanita yang maut ditemui anggaran jarak satu kilometer dari lokasi tempat mereka berkelah. - Foto JBPM
BIDOR: Seorang wanita maut manakala tiga lagi kanak-kanak dikhuatiri hilang dalam insiden kepala air ketika mereka berkelah di Sungai Kampung Poh, dekat sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon dalam satu kenyataan berkata, terdapat tujuh mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.
Ia merangkumi seorang wanita yang disahkan maut sementara dua wanita dan seorang kanak-kanak anggaran usia 12 tahun, masing-masing selamat.
Manakala tiga lagi kanak-kanak masih hilang.
Jelasnya, wanita yang maut ditemui anggaran jarak satu kilometer dari lokasi tempat mereka berkelah.
Mangsa dijumpai oleh penduduk kampung sebelum jambatan di sungai tersebut.
Sayani berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.03 petang.
Sehingga kini katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor masih melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Operasi dilaksanakan secara surface searching dan menurutnya keadaan arus sungai masih deras.
Jelasnya, kekuatan anggota merangkumi 15 bomba, 22 polis dan 15 penduduk kampung.
#insiden kepala air #Bidor #bomba perak #kanak-kanak hilang
;