Insiden kepala air Ulu Slim: Lebih 10,000 pengguna terputus bekalan air di Muallim

Afiezy Azaman
Ogos 24, 2024 10:50 MYT
Jambatan yang runtuh disebabkan tekanan daripada arus air deras yang membawa serpihan kayu-kayu balak akibat banjir. - Gambar Astro AWANI
SLIM RIVER: Penduduk di daerah Muallim terputus bekalan air dan elektrik susulan kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River, pada Jumaat.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, gangguan bekalan air sejak semalam melibatkan anggaran 10,000 akaun pengguna di sekitar daerah berkenaan.
"Gangguan bekalan air berlaku kerana paip besar yang menjadi saluran utama dari muka sauk loji rawatan air pecah akibat jambatan runtuh.
"Manakala jambatan yang runtuh disebabkan tekanan daripada arus air deras yang membawa serpihan kayu-kayu balak akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan runtuhan jambatan di Jalan Slim River-Behrang Ulu, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang semalam, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Muallim dinaiki air berserta kejadian kepala air mengakibatkan ratusan penduduk terperangkap.
Setakat pagi ini kira-kira 175 mangsa daripada 42 keluarga diselamatkan dan ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sementara 19 lagi mangsa di Risda Eco Park masih belum diselamatkan akibat jambatan berhampiran runtuh.
#insiden kepala air #Ulu Slim #Bekalan air terjejas #daerah Muallim