Insiden kepala air Ulu Slim: Jambatan Slim Village runtuh

Bernama
Ogos 23, 2024 23:43 MYT
Jambatan yang runtuh itu melibatkan laluan sepanjang empat meter di Jalan Slim River-Ulu Behrang dekat Mualim. - Gambar fail/Orang awam
IPOH: Jambatan Slim Village yang menjadi tapak bersejarah pertempuran Slim River ketika Perang Dunia Kedua runtuh dalam kejadian 8 malam tadi akibat banjir selepas hujan lebat sejak petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata ia melibatkan laluan sepanjang empat meter di Jalan Slim River-Ulu Behrang dekat Mualim.
Beliau berkata laluan itu kini ditutup kepada semua jenis kenderaan.
"Pihak Jabatan Kerja Raya sedang mengenal pasti sama ada terdapat jalan lain terlibat akibat banjir ini," katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan air deras sehingga menyebabkan jambatan itu runtuh.
-- BERNAMA
#kepala air #Ulu Slim #jambatan runtuh #cuaca buruk #hujan lebat