Insiden kepala air Ulu Slim: 21 mangsa terperangkap di Eko Park Risda berjaya diselamatkan

Afiezy Azaman
Ogos 24, 2024 12:20 MYT
Kesemua 21 mangsa yang terperangkap di Eko Park Risda Ulu Slim susulan kejadian kepala air di Kampung Sungai Bil, Slim Village, berjaya diselamatkan, pada Sabtu.
SLIM RIVER: Kesemua 21 mangsa yang terperangkap di Eko Park Risda Ulu Slim susulan kejadian kepala air di Kampung Sungai Bil, Slim Village, berjaya diselamatkan, pada Sabtu.
Menurut Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Penguasa Kanan Bomba ll, Khairil Adli Zakaria, jumlah itu termasuk 18 pengunjung, dua orang awam tempatan, dan seorang kakitangan tempat rekreasi itu.
Mangsa melibatkan 14 dewasa dan tujuh kanak-kanak berumur lingkungan satu hingga 50 tahun diselamatkan tepat jam 11.30 pagi, hasil kerjasama pelbagai agensi penyelamat dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
"Pihak penyelamat menggunakan teknik tali yang diikat selain bot rafting untuk membawa kesemua mangsa menyeberang Sungai Geliting yang arusnya agak deras dan menjadi cabaran kepada anggota.
"Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak pengurusan eco park untuk penempatan sementara," katanya kepada pemberita sejurus selepas operasi menyelamat tamat pada jam 12 tengahari di Sungai Geliting, Ulu Slim, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang Jumaat, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Muallim dinaiki air berserta kejadian kepala air mengakibatkan ratusan penduduk terperangkap.
Keseluruhan 196 mangsa termasuk di Risda Eko Park berjaya diselamatkan.
#insiden kepala air #Ulu Slim #Eko Park Risda #21 mangsa terperangkap