Insiden kepala air Ulu Slim: 19 orang masih terperangkap di Risda Eco Park - Polis

Afiezy Azaman
Ogos 24, 2024 09:20 MYT
Menurut Azizi, pihak polis sedang merangka pelan membawa kesemua mangsa keluar dalam masa terdekat setelah air surut. - Gambar Astro AWANI
SLIM RIVER: Seramai 19 orang masih terperangkap di Eko Park Risda Ulu Slim susulan kejadian kepala air berlaku di Kampung Sungai Bil, Slim Village dan akibat empangan pecah di Kampung Ulu Slim, Slim Village, Slim River.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, pihaknya sedang merangka pelan membawa kesemua mangsa keluar dalam masa terdekat setelah air surut.
"Apabila dibawa keluar kesemua mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat.
"Pasukan penyelamat terdiri daripada pelbagai agensi telah berada di lokasi untuk menyelamatkan mangsa dan menentukan sama ada mangsa berada dalam keadaan selamat.
"Pihak penyelamatan juga berjaya menghubungi mereka dan setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik," kata ketika ditemui pemberita di Jambatan Slim Village di sini, pada Sabtu.
Azizi berkata, seramai 175 penduduk daripada 42 keluarga telah berjaya diselamatkan setakat jam 3 pagi hari ini.
"Tindakan susulan kita akan menentukan kawasan yang selamat dan menasihati orang ramai agar berhati-hati apabila bercuti di tepi-tepi sungai ketika musim hujan," ujarnya.
#insiden kepala air #Ulu Slim #Risda Eco Park #empangan pecah