Insiden kepala air di KKB: Wanita China ditemukan lemas

Bernama
Jun 21, 2023 23:19 MYT
Mayat Xia Yuan Ling, 55, ditemukan tersangkut di celahan batu pada 6.18 petang kira-kira 200 meter dari tempat kedua-dua mangsa dilaporkan hanyut. - JBPM
KUALA LUMPUR: Dua wanita warga China ditemukan lemas selepas dihanyutkan dalam insiden kepala air ketika mandi di air terjun Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu dekat sini petang tadi.
Bernama melaporkan, fenomena kepala air di kawasan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat di bahagian hulu sungai yang menyebabkan paras air terjun menjadi tinggi dengan arus deras.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata mayat Xia Yuan Ling, 55, ditemukan tersangkut di celahan batu pada 6.18 petang kira-kira 200 meter dari tempat kedua-dua mangsa dilaporkan hanyut.
Beliau berkata mayat Xia dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Wan Md Razali berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan kedua-dua wanita pada 5.30 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
Dalam perkembangan terkini, Wan Md Razali berkata pihaknya telah berjaya menemukan mangsa kedua insiden kepala air itu pada 10.20 malam.
Beliau berkata mayat wanita itu ditemukan di celah batu, 50 meter dari lokasi Xia dijumpai, lapor Bernama.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
"Operasi pencarian ditamatkan pada 11 malam," katanya.
#lemas #Kuala Kubu Bharu #pertak #JBPM
;