Insiden kematian Mejar Zahir diklasifikasi sebagai kemalangan dalam latihan
Bernama
September 26, 2019 17:33 MYT
September 26, 2019 17:33 MYT
Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengesahkan insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya sebagai satu kemalangan dalam latihan.
TDM menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh lembaga siasatan TDM yang mendapati insiden itu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.
"Ahli lembaga juga mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik.
"TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu terlibat, sementara prosedur operasi standard (SOP) dikemas kini jika perlu," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Allahyarham Mohd Zahir akan dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera ke-578 yang telah bersidang pada 17 Sept lepas, tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Aspek kebajikan keluarga Allahyarham Mohd Zahir juga turut diberi perhatian dengan memastikan bantuan dan faedah sewajarnya diterima mengikut kelayakan yang telah ditetapkan dalam perkhidmatan TDM.
Allahyarham Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia, pada 4 Sept lepas.
-- BERNAMA