Insiden kekecohan segelintir warga Palestin bukan alasan hantar mereka pulang

Bernama
Oktober 4, 2024 22:34 MYT
Saifuddin berkata adalah tidak masuk akal untuk kerajaan berbuat demikian ketika negara mereka sedang menghadapi peperangan. - Bernama
SINTOK: Insiden kekecohan membabitkan sekumpulan warga Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur, dengan anggota keselamatan baru-baru ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata adalah tidak masuk akal untuk kerajaan berbuat demikian ketika negara mereka sedang menghadapi peperangan.
Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia untuk tidak membuat kesimpulan secara umum susulan insiden itu dan tidak menyalahkan warga Palestin secara keseluruhannya.
"Apa yang penting kita cari penyelesaian bagaimana undang-undang sedia ada boleh kita guna pakai untuk disesuaikan dengan keberadaan mereka di sini, itu yang paling penting.
"KDN (Kementerian Dalam Negeri) bersedia untuk memberikan kerjasama kerana akta yang berkaitan (untuk mereka berada di negara ini) di bawah kawal selia kita.
"Ia berkaitan dengan jenis pas yang sesuai untuk mereka berada di sini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.
BACA: Isu libatkan rakyat Palestin di pusat transit selesai - Duta
Sebelum ini video memaparkan beberapa warga Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur melakukan kekecohan, tular dalam media sosial.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata keputusan kerajaan untuk membawa warga Palestin yang cedera khususnya kanak-kanak ekoran perang di negara mereka adalah sebagai komitmen kemanusiaan.
Beliau berkata insiden kekecohan itu tercetus disebabkan segelintir daripada mereka yang tidak berpuas hati kerana diletakkan di pusat perlindungan berkenaan dan pergerakan mereka dihadkan.
"Keberadaan mereka di sini pada asalnya untuk dirawat, jadi pas yang dikeluarkan sesuai untuk tujuan itu. Jadi, pada peringkat KDN sebenarnya kita telah berbincang untuk mencari jalan membawa cadangan supaya KDN keluarkan pas bersesuaian," katanya.
-- BERNAMA
#warga Palestin #Saifuddin Nasution Ismail #insiden terpencil #isu tular
;