Insiden kebakaran pecah rahsia makmal proses dadah
Ernalisa Othman
Februari 6, 2021 12:56 MYT
Februari 6, 2021 12:56 MYT
JOHOR BAHRU: Kegiatan makmal memproses dadah di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang di sini terbongkar apabila kilang itu terbakar Ahad lepas dan membawa kepada penangkapan enam suspek.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, makmal yang baru sebulan beroperasi itu berselindung di sebalik 'identiti' syarikat pelupusan barang terpakai.
"Susulan maklumat mengenai satu insiden kebakaran ini, kami menerima laporan daripada pihak bomba yang telah menemui beberapa peralatan disyaki untuk proses dadah.
"Serbuan ini berjaya membongkar satu lagi aktiviti makmal haram memproses sejumlah dadah disyaki ketamin prekursor, yang semuanya telah dirampas.
"Sindiket ini menyewa kilang untuk dijadikan makmal haram dan telah beroperasi sejak sebulan lalu," katanya dalam sidang media kejayaan polis Johor membongkar makmal haram memproses dadah di Johor Bahru.
Tambah Datuk Ayob Khan, saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif manakala lima daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek disambung reman selama dua hari sehingga 7 Februari.
Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 30 kilogram ketamin, 100 liter cecair dan 2 kilogram serbuk dipercayai dadah.
Nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM5.06 juta.
Rampasan dadah itu boleh digunakan oleh seramai 660,000 penagih.
Polis turut menyita enam buah kereta pelbagai jenis, sebuah motosikal, dua utas jam tangan, 15 jenis barang kemas dan lima akaun bank.
Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bernilai RM6.4 juta.
Dalam masa sama pihak polis giat mengesan lima saspek warga tempatan berusia antara 33 tahun hingga 46 tahun.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39-B Akta Dadah Berbahaya 1952.