Insiden kapal korek: Pusat SAR ditutup, operasi dipindah ke Batu Pahat
Shuhada Abdul Kadir
Mac 26, 2018 15:30 MYT
Mac 26, 2018 15:30 MYT
ANGGOTA Pertahanan Awam (APM) mengemas kelengkapan selepas pengumuman Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 berpindah ke Batu Pahat. - Foto BERNAMA
Pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Leka, Parit Jawa di sini bagi mengesan baki sembilan lagi mangsa kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 ditutup pada 12 tengah hari ini.
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof berkata operasi SAR itu akan berpusat di Pejabat Maritim Batu Pahat bagi memudahkan kerja pemantauan operasi.
Katanya, radius pencarian akan diperluaskan sehingga 400 batu nautika persegi.
Pada masa sama tambahnya lagi, pihaknya telah meminta bantuan daripada nelayan di kawasan terlibat untuk menyampaikan maklumat sekiranya mereka memperoleh petunjuk berkaitan mangsa.
“Hari keenam sehingga pagi ini tiada penemuan mangsa baru. Aset-aset membuat pemantauan dan carian di perairan dengan zon kawasan pencarian telah diperluaskan sehingga 400 batu nautika.
“Aset yang terlibat masih dikekalkan di mana kita akan memberi tumpuan dengan menggunakan aset yang kecil selain Pangkalan Hadapan Operasi (FOB) dipindahkan ke Batu Pahat,” katanya pada sidang media di pusat SAR Parit Jawa di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, jumlah keanggotaan serta aset dikekalkan dan tinjauan di udara oleh helikopter Maritim juga diteruskan.
Mengulas kerjasama dengan Badan SAR Nasional (Basarnas) Indonesia dalam usaha mencari baki sembilan kru yang masih hilang, Sanifah berkata, sehingga kini tiada lagi maklumat diperoleh dari negara jiran.
Semalam, pasukan penyelamat memutuskan untuk menghentikan khidmat penyelam, namun memberikan tumpuan kepada pencarian di kawasan perairan berikutan keseluruhan ruang kapal telah diperiksa berulang kali.