Insiden jambatan runtuh: Penduduk sekitar Kampung Lechar belum selamat

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 6, 2021 21:28 MYT
Tinjauan Astro AWANI turut mendapati keadaan tanah runtuh dan hakisan kawasan cerun tepi jalan tersebut masih lagi aktif berlaku ketika orang ramai masih menggunakan laluan itu tanpa henti. - Foto Astro AWANI
RAUB: Walaupun insiden jambatan runtuh di Kampung Lechar, Raub Pahang mungkin ada yang menarik nafas lega kerana tiada kehilangan nyawa.
Namun, sebenarnya belum selamat jika dilihat bahaya yang sedia menanti.
Melalui pemerhatian Astro AWANI yang berada di lokasi, jika anda menggunakan laluan berdekatan di kawasan kampung berkenaan, anda akan dapati betapa bahaya dan berisikonya pengguna jalan raya ketika melaluinya.
Tanah runtuh di laluan tersebut benar-benar berada dalam situasi kritikal dan sememangnya mengancam setiap pengguna kenderaan yang melaluinya.
Kawasan cerun berhampiran sungai itu kini telah mengalami masalah tanah runtuh yang serius.
Malah terdapatnya kon amaran yang diletakkan di atas jalan, menandakan ia bukan perkara yang harus diambil mudah, apatah lagi pokok yang berada di tepi jalan tersebut sudah mula tumbang menyembah bumi.
INSIDEN MERAGUT NYAWA
Ancaman itu benar-benar berada di kiri dan kanan bahu jalan di laluan tersebut yang berkemungkinan bila-bila masa mampu meragut nyawa pengguna jalan raya.
Banjir: Jambatan Kampung Lechar, Raub
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Dan Keselamatan Kampung, Ishak Ibrahim, insiden sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Kalau diikutkan, tak pernah berlaku malah kejadian jambatan runtuh ini pun 50 tahun lalu sahaja berlaku. Agak terkejut dengan apa yang berlaku ini, harap ada pihak yang ambil maklum," katanya ketika ditemui wartawan Astro AWANI, Raja Hisyam Raja Zaid pada Rabu.
Tinjauan Astro AWANI turut mendapati keadaan tanah runtuh dan hakisan kawasan cerun tepi jalan tersebut masih lagi aktif berlaku ketika orang ramai masih menggunakan laluan itu tanpa henti.
#Ishak Ibrahim #tanah runtuh #keselamatan #situasi kritikal #hakisan kawasan cerun #keselamatan penduduk
;