Insiden Jambatan Pulau Pinang nahas kelima sejak 2010

Bernama
Januari 21, 2019 19:15 MYT
Kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di KM4 Jambatan Pulau Pinang pada awal pagi Ahad. - BERNAMA
Kejadian kenderaan terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang awal pagi semalam, merupakan insiden kelima berlaku di jambatan berkenaan dalam tempoh 2010 sehingga kini.
Dalam kejadian terbaharu ini, sebuah kereta dipandu penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, hilang kawalan selepas dilanggar sebuah kereta lain di jambatan itu sebelum terhumban ke laut kira-kira 2.54 pagi semalam.
BACA: SUV terhumban dari Jambatan Pulau Pinang dijumpai
BACA: Nahas Jambatan Pulau Pinang: Pemandu Vios positif ganja
BACA: Polis kenal pasti pemandu kenderaan terjunam ke dalam laut
Berdasarkan rekod diperoleh Bernama, kejadian pertama seumpama itu dilaporkan berlaku pada 20 Sept 2010 apabila sepasang suami isteri muda maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang sebelum jatuh ke laut dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi.
Dalam insiden kedua pada 1 Nov 2012, seorang kerani akaun maut apabila kenderaan dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke dalam laut di Km7.9 jambatan itu yang menghala ke George Town dalam kejadian pada 3.30 pagi.
Mayat Tan Lean Loon, 24, ditemui di tempat duduk pemandu dalam keadaan masih bertali pinggang keledar dan kerja-kerja mengangkat kereta dan mangsa berakhir pada 12.15 tengah hari.
Dalam insiden ketiga, seorang lelaki tercampak ke dalam laut setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah motosikal lain di KM1.4 Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian 9.30 pagi pada 30 Okt 2015. Mangsa Mohammad Noor Firdaus Yahya, 24, hanya cedera ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur di bawah jambatan itu.
Dua minggu selepas itu, pada 12 Nov 2015, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan menyebabkannya tercampak jatuh ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di Km0.6 menghala ke Perai dalam kejadian pada 5.49 pagi.
Berikut adalah kronologi kejadian kemalangan di Jambatan Pulau Pinang menyebabkan mangsa dan kenderaan terhumban ke laut dalam tempoh 2010 sehingga kini:
*20 Sept 2010: Sepasang suami isteri muda maut selepas kenderaan MPV yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang dalam satu kemalangan kira-kira 1.30 pagi.
*1 Nov 2012: Seorang kerani akaun maut apabila kenderaan dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke laut di Km7.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke George Town dalam kejadian 3.30 pagi.
*30 Okt 2015: Seorang lelaki tercampak ke dalam laut setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 1.4 Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian 9.30 pagi. Mohammad Noor Firdaus Yahya, 24, hanya cedera ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur di bawah jambatan itu.
*12 Nov 2015: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkannya tercampak jatuh ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di Km0.6 menghala ke Perai dalam kejadian 5.49 pagi.
*20 Jan 2019: Sebuah kereta dipandu seorang penuntut kolej swasta terhumban ke laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Km4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dalam kejadian pada 2.54 pagi Isnin. -- Bernama
#Jambatan Pulau Pinang #kemalangan #penang bridge
;