Insiden Jambatan P. Pinang: Polis rekod keterangan lapan individu
Bernama
Januari 22, 2019 12:49 MYT
Januari 22, 2019 12:49 MYT
Pemandangan udara operasi mencari kereta yang terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang pada awal pagi Ahad. - Gambar fail
Seramai lapan individu telah direkodkan keterangan berhubung kemalangan melibatkan dua buah kereta sehingga sebuah daripadanya terhumban ke dalam laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, di sini awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mereka yang telah direkodkan keterangan itu membabitkan rakan-rakan mangsa yang hadir pada sambutan hari jadi di sebuah pusat hiburan, saksi di tempat kejadian dan anggota keluarga pemandu kereta yang terhumban berkenaan.
"Selain lapan individu itu, polis akan merekodkan keterangan beberapa lagi orang termasuk seorang lelaki yang merakamkan kejadian kemalangan berkenaan hari ini," katanya di sini hari ini.
Katanya polis akan melengkapkan kertas siasatan kemalangan itu secepat mungkin sebelum menghantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"Polis juga akan merekodkan keterangan seorang lagi pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu selepas dia selesai menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Bayan Baru," katanya.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan polis ke atas rakan-rakan mangsa mendapati hanya pemandu kereta Mazda CX-5 berada dalam kenderaannya.
"Tiada orang lain berada dalam kereta mangsa semasa kejadian dan kami percaya pemandu berkenaan berada dalam kenderaan itu," katanya.
SUV itu yang dipandu oleh penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, terhumban ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada jam 2.54 pagi, semalam.
Kenderaan itu berjaya ditemukan pada pukul 4 petang semalam di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sebelum sebuah kren berkapasiti tinggi tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut.
-- BERNAMA
#Jambatan Pulau Pinang
#kemalangan
#kereta
#mangsa
#Moey Yun Peng
#Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid
#polis
#sambutan hari jadi
#siasatan
#terhumban