Insiden gadis Melayu dipeluk artis K-Pop arus ganas liberalisme - Timbalan Mufti Perak

Astro Awani
Januari 12, 2015 19:29 MYT
Susulan penyebaran video kumpulan K-Pop B1A4 yang memeluk beberapa hadis Melayu memeluk beberapa gadis Melayu bertudung di atas pentas, Timbalan Mufti Negeri Perak, Zamri Hashim berkata insiden ini membuktikan wujudnya arus ganas liberalisme.
“Ia menjadikan kehendak serta hawa nafsu manusia menjadi fokus utama penganut aliran ini walaupun ianya bakal meruntuhkan nilai–nilai agama dan budaya dalam jiwa,” kata Zamri dalam satu kenyataan.
Tambahnya, gadis-gadis Muslimah, yang tenggelam dan hanyut dengan gelombang K-Pop, rela
diperlakukan dengan kelakuan yang tidak boleh diterima sama sekali oleh Islam dan budaya timur.
Walaupun JAKIM pernah mengeluarkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam pada 2007 namun Zamri berkata arus liberalisme menganggap garis panduan ini tidak berhak menghadkan kebebasan individu.
“Plot cerita ini akan berterusan dengan penampilan barisan peguam–peguam pejuang hak asasi manusia yang akan terus menentang Islam selagi mana tidak ada apa–apa tindakan terhadap individu mahupun syarikat yang terbabit,” katanya.
Beliau turut berharap agar ibu bapa dapat mengawasi anak-anak mereka.
“Daripada teruja dengan budaya K-Pop ini, ambillah budaya yang baik daripada orang-orang Korea seperti rajin bekerja, sayangkan identiti diri dan lain-lain,” tambahnya.
Satu agenda Kristian?
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), A. Karim Omar mendakwa bahawa K-Pop mempunyai agenda Kristian.
Dalam laman blognya http://akarimomar.wordpress.com yang turut dikongsi di laman web Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Karim mendakwa ramai artis K-Pop adalah aktivis gereja dan terlibat langsung dalam dakyah agama Kristian.
“Sebahagian besar dari mereka adalah ahli kumpulan nyanyian gospel di gereja masing-masing semasa kecil/remaja – sebelum popular menjadi artis K-Pop.
“Malah ada yang mengatakan bahawa genre K-Pop adalah evolusi dari Korean Contemporary Christian Music (KCCM) yang bermula pada dekad 1970an sebelum K-Pop menjadi popular,” tulis Karim.
Tambahnya, hampir 80 peratus dari artis K-Pop beragama Kristian dan selebihnya adalah terdiri dari golongan atheis, Buddha dan kepercayaan animism.
“Mungkin ini adalah suatu penghinaan yang disengaja dan mungkin inilah agenda jahat terselindung pelampau evangelis Kristian yang telah memurtadkan anak-anak muda Melayu melalui percintaan yang terlanjur,” dakwanya lagi.
Video perjumpaan bersama peminat B1A4 yang berdurasi 3 minit 21 saat itu yang tersebar sejak Sabtu lalu itu menunjukkan aksi beberapa gadis Melayu berpelukan dengan anggota kumpulan berkenaan.
Turut dipaparkan aksi beberapa gadis berpelukan dan aksi mencium dahi di dalam video berkenaan.
B1A4 merupakan sebuah kumpulan muzik dari Korea Selatan di bawah naungan syarikat WM Entertainment.
Kumpulan dianggotai lima ahli iaitu Jung Jin Young, Shin Dong Woo, Lee Jung Hwan, Cha Seon Woo dan Gong Chan Sik, membuat penampilan sulung pada tahun 2011 dengan single "O.K".
Piihak penganjur acara berkenaan, TGM Events tampil menjelaskan duduk perkara itu melalui laman Facebook rasmi mereka.
Mereka meminta maaf atas masalah yang timbul ke atas artis dan peminat dan akan mempertimbangkan implikasi budaya dan agama dalam hal interaksi antara peminat dan artis.
#A Karim Omar #K-pop #Kristian #Muafakat
;