Insiden di kuil tindakan ganas melampaui batas - Mohd Azis

Astro Awani
November 26, 2018 22:00 MYT
Mohd Azis (dua kiri) ditemui di Menara MCT yang menempatkan pejabat One City pada awal pagi ini. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman menyifatkan kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, awal pagi Isnin, sebagai tindakan ganas.
Beliau yang berada di Menara MCT pada awal pagi ini bagi meninjau situasi semasa di lokasi kejadian berkata, kejadian itu melampaui batas.
"Perkara ini akan menjadi lebih teruk sekiranya ia berterusan. Kita perlu meredakan keadaan.
"Ini bukan soal agama atau bangsa, tetapi ini masalah antara pihak kuil dan pihak pemaju," kata Mohd Azis.
Menara MCT menempatkan pejabat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City), pemilik tapak kuil berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil sebelum tercetus pergaduhan antara dua kumpulan sehingga dilaporkan 18 kenderaan dan beberapa motosikal dibakar.
Pada 28 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan notis pengosongan yang mengarahkan pentadbir kuil itu mengosongkan tapak itu sebelum 15 Okt lalu.
Dalam penghakiman persetujuan, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil, manakala kerajaan negeri menyerahkan tanah untuk tujuan pemindahan kuil tersebut.
Tanah seluas satu ekar (kira-kira 0.4 hektar) itu terletak kira-kira 3 kilometer dari lokasi asal kuil.
#ganas #kerajaan #kuil #mahkamah #melampaui batas #Mohd Azis Jamman #One City #pemaju #Putra Heights #Sri Maha Mariamman #Subang Jaya #tapak kuil