Insiden Dayang Topaz: Tindakan pantas selamatkan lebih 100 nyawa dalam cuaca buruk di Miri

Bernama
Oktober 27, 2020 06:06 MYT
Ketika Dayang Topaz hampir tenggelam, ada 62 kru kapal yang masih berada di dalamnya sementara 125 telah melompat dari kapal. --fotoBERNAMA
KUCHING: Rakyat Sarawak semalam dikejutkan dengan insiden yang menimpa kru kapal platform MV Dayang Topaz, yang merempuh pelantar minyak di perairan Kuala Baram di Miri, kira-kira 800km dari sini, selepas ekor taufan Molave membadai kawasan itu.
Seramai 187 kru berada dalam kapal malang itu apabila satu daripada kabel kapal itu putus menyebabkan kapal hilang kawalan apabila dipukul ombak Laut China Selatan dan berlanggar dengan struktur pelantar penggerudian berhampiran.
Jurugerudi, juruperancah dan jurutera antara yang berada di dalam kabin kapal, menyatakan nyawa mereka berada di hujung tanduk dan hanya berserah kepada takdir, dalam insiden yang tidak dijangka di Laut China Selatan yang biasanya tenang.
Insiden malang itu mula menjadi perhatian dunia, sebaik media Sarawak dimaklumkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM).
"Dayang Topaz hampir tenggelam dan ada 62 kru kapal yang masih berada di dalamnya; 125 telah melompat dari kapal," menurut kenyataan pertama yang diterima media di sini.
Dalam keadaan laut bergelora dan taufan yang masih membadai di kawasan itu, APMM mula mengumpulkan sumbernya termasuk mendapatkan bantuan daripada syarikat minyak di Brunei, untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.
Menjelang 10 pagi, agensi itu mengesahkan semua mangsa di dalam kapal itu telah diselamatkan dan dalam perjalanan untuk dihantar ke Miri melalui laut, kecuali dua yang cedera akan diterbangkan ke Hospital Miri.
BACA: Insiden Dayang Topaz: Siasatan sedang berjalan - Petronas
BACA: Anak kapal MV Dayang Topaz selamat tiba di Pelabuhan Miri
BACA: Setiausaha politik Nanta bersyukur adik selamat dalam insiden Dayang Topaz
BACA: Kronologi insiden Dayang Topaz: Ini apa anda perlu tahu
Insiden itu telah mengorbankan dua nyawa namun identiti mangsa tidak didedahkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dalam sidang media lewat petang semalam berkata semua yang terselamat akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebagai sebahagian daripada prosedur saringan COVID-19 di negeri ini.
"Prosedur ini bukan bertujuan untuk membebani mereka, tetapi saya harap mereka faham bahawa kami harus memastikan demi kesihatan awam di negeri Sarawak," katanya.
-- BERNAMA
#Dayang Topaz #Miri #kru kapal #kapal platform #Kuala Baram #perairan #pelantar minyak #rempuh #kabel kapal putus #karam #dipukul ombak #laut bergelora #tenggelam #taufan #syarikat minyak #Brunei #operasi
;