Insiden Dayang Topaz : Kesemua anak kapal dikehendaki jalani saringan COVID-19 dan kuarantin

Astro Awani
Oktober 27, 2020 19:46 MYT
Proses yang dilakukan ini selaras dengan arahan keselamatan yang diselia oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Foto BERNAMA
KUCHING : Kesemua anak kapal yang terlibat dalam insiden Kapal Dayang Topaz perlu menjalani saringan COVID-19 dan kuarantin selama 14 hari.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, 185 anak kapal yang diselamatkan dalam insiden berkenaan wajib melalui proses tersebut untuk mengelakkan penularan wabak berkenaan.
“Kita telah pun mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri untuk mengambil tindakan menyaring dan kemudian menjalani proses kuarantin.
“Ini kerana kita tidak pasti sama ada mereka mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi seperti Sabah atau sebaliknya,” kata Uggah.
BACA: Anak kapal MV Dayang Topaz selamat tiba di Pelabuhan Miri
Tambah beliau, proses ini wajib sebagai langkah untuk mengawal penularan wabak COVID-19 dalam segenap aspek di negeri berkenaan.
“Keputusan yang diambil ini bukan untuk menyusahkan. Tetapi ia adalah langkah berjaga-jaga yang perlu kita lakukan.
“Sekiranya kita meneliti, 60 peratus kes di Sarawak adalah kes import. Oleh itu, kita tegas dengan keadaan khasnya di sempadan negeri,” ujar beliau pada sidang media COVID-19 di Dewan Undangan Negeri Lama di Kuching pada Selasa.
Terdahulu, pada awal pagi Selasa, negara dikejutkan dengan insiden kemalangan melibatkan kapal platform Dayang Topaz di posisi 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri.
Berdasarkan kepada maklumat awal yang diperolehi, kejadian itu berlaku dalam keadaan cuaca buruk di mana kabel sauh kapal Dayang Topaz telah terputus menyebabkan kapal tersebut tidak dapat dikawal dan melanggar platform Minyak Baram B.
BACA: Tali sauh terputus ketika ribut dipercayai punca Dayang Topaz rempuh pelantar minyak
Seperti yang disahkan oleh Pemangku Pengarah Bahagian Carilamat & Bantuan Bencana APMM, Komander Suzanna Razali Chan, insiden tersebut melibatkan seramai 187 anak kapal termasuk 185 warganegara Malaysia dan dua warganegara Indonesia.
Dua nyawa anak kapal pula dilaporkan terkorban.
BACA: Dayang Topaz: Dua anak kapal disahkan meninggal dunia, 185 berjaya diselamatkan
BACA: Kronologi insiden Dayang Topaz: Ini apa anda perlu tahu
#Dayang Topaz #MV Dayang Topaz #MRCC #APMM #Maritime Rescue Coordination Centre #pelantar minyak #Kuala Baram #Sarawak #COVID-19
;