Insiden cabul: Maahad tahfiz dalam seliaan negeri, kementerian tidak campur tangan - Mahdzir
Astro Awani
Ogos 25, 2016 16:19 MYT
Ogos 25, 2016 16:19 MYT
Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan dalam isu dakwaan penderaan seksual melibatkan sebuah sekolah agama kerana ia di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab ke atas peraturan dan seliaan di semua sekolah agama.
"Ia hak negeri sebab guru dibayar gaji oleh negeri. Peraturan di bawah peraturan negeri. Perkara ini tidak melibatkan kita (Kementerian Pendidikan). Kita tidak ada locus standi (kepentingan) untuk campur tangan sebab hak itu memang hak negeri," kata Mahdzir pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Seni Malaysia Johor di sini hari ini.
Beliau mengulas isu penderaan seksual yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah maahad tahfiz di Ipoh, Perak pada Rabu.
Bagaimanapun, jelas Mahdzir, sekiranya kes tersebut terjadi di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, tindakan sewajarnya akan diambil.
Maahad tahfiz yang dimiliki penceramah bebas terkenal itu dikatakan berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak.