Insiden berbalas tembakan dengan polis di Kundang, dua penjenayah maut

Astro Awani
Mei 15, 2016 13:34 MYT
Antara barang-barang bukti yang dijumpai berada dalam kereta penjenayah. - Gambar Astro AWANI
Dua penjenayah maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Lagong, Kundang pada awal pagi Ahad.
Dalam kejadian 3 pagi itu, penjenayah dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan rompakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan warga India, berusia 40 tahun dan 41 tahun berasal dari Kepong dan Sungai Buloh.
Menurut Mohd Adnan, pelakuan mereka yang mencurigakan telah menarik perhatian anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan pasar malam di sekitar Kundang malam Sabtu.
Kumpulan peronda yang berada dalam sebuah kereta pemacuan empat roda mula mengikut kereta penjenayah sehingga berjaya menghalang kereta itu di satu persimpangan.
Menyedari mereka sedang diekori, penjenayah mula memecut sehingga hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan raya.
Kedua-dua suspek meninggalkan kereta dan bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan warga India, berusia 40 tahun dan 41 tahun dan berasal dari Kepong dan Sungai Buloh," kata Mohd Adnan.
Salah seorang penjenyah itu mempunyai empat rekod kesalahan termasuk merusuh, mencuri dan juga memaksa serah harta dan satu lagi rekod kes adalah merompak dengan mendatangkan cedera dengan senjata dan berstatus pemburuan polis.
Seorang lagi penjenayah itu bagaimanapun, tidak mempunyai apa-apa rekod kesalahan," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Polis menjumpai dua pucuk pistol, peluru, batang besi dan satu set plat nombor pendaftaran kenderaan.
Semakan turut mendapti kereta dinaiki suspek dilapor hilang di Sungai Jarom sejak dua tahun lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.
#Kudang awal pagi Ahad #Mohd Adnan Abdullah #Penjenayah maut dalam insiden tembak menembak dengan polis di Jalan Lagong
;