Insiden bas Genting: Industri pengangkutan perlu ketatkan langkah keselamatan - Lee Lam Thye

Bernama
Jun 29, 2024 23:43 MYT
Lee berkata kemalangan seperti itu akan terus berlaku kecuali pemain industri pengangkutan dan pelancongan, komited sepenuhnya untuk melaksanakan peraturan keselamatan, peraturan dan garis panduan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Industri pengangkutan tempatan digesa mengetatkan langkah keselamatan jalan raya berikutan nahas bas di Genting Highlands hari ini, kata seorang aktivis sosial terkenal Tan Sri Dr Lee Lam Thye.
Lee yang juga Pengasas dan Pengerusi Alliance for a Safe Community berkata kemalangan seperti itu akan terus berlaku kecuali pemain industri pengangkutan dan pelancongan, komited sepenuhnya untuk melaksanakan peraturan keselamatan, peraturan dan garis panduan.
"Tragedi ini sekali lagi menunjukkan bahawa pentingnya aspek keselamatan jalan raya yang menjadi isu keselamatan utama di negara ini.
"Persoalan yang perlu ditanya ialah sama ada semua pihak dan pihak berkepentingan akan bekerjasama untuk mencegah lebih banyak tragedi dan seterusnya mencapai status sifar kemalangan," katanya ketika dihubungi Bernama, sambil menambah bahawa kemalangan itu sepatutnya menjadi peringatan kepada industri pengangkutan.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi, dua warga China maut, manakala 19 penumpang terselamat selepas bas persiaran dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands dan video berdurasi 21 saat itu tular di media sosial.
-- BERNAMA
#media sosial #pelancongan #Genting Highlands #keselamatan jalan raya
;