Insiden baling pisau: Kakak dituduh sebabkan kematian adik tanpa niat

Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 26, 2022 12:56 MYT
Tertuduh yang juga anak sulung mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zuhainie Zull Kafli.- Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-Kanak di sini atas tuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya, minggu lalu.
Tertuduh yang juga anak sulung mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zuhainie Zull Kafli.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya berusia 16 tahun dengan mengetahui perbuatannya mungkin menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan di rumah keluarga mereka di Kampung Ulu Pulai jam 1.50 tengah hari pada 19 Oktober lalu.
[TERKINI] Mahkamah | Kakak didakwa sebabkan kematian adik tanpa niat
Remaja berusia 17 tahun 11 bulan itu didakwa di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan yang dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos.
Tertuduh diwakili peguam Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan.
Mahkamah | Remaja perempuan baling pisau kepada adik hingga maut
BACA: Berebut tempat duduk, remaja 16 tahun maut ditikam kakak
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan bedah siasat pada 5 Disember ini.
Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan, seorang kakak membaling pisau ke arah adiknya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.
Dua beradik itu dilaporkan bergaduh akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, sebelum kakak bertindak membaling pisau ke arah adiknya selepas dikatakan dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.
Kematian Remaja | Pisau terkena salur darah utama arteri mangsa
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adik disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya, menyebabkan pendarahan yang banyak.
#baling pisau #bunuh adik #remaja didakwa #Kampung Ulu Pulai
;