Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Dua anggota polis terkorban dinaikkan pangkat Koperal

Bernama
Jun 14, 2024 19:47 MYT
Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dinaikkan pangkat Koperal secara posthumous. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang terkorban dalam kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lepas, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said masing-masing dinaikkan pangkat Koperal secara posthumous hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Allahyarham Ahmad Azza Fahmi, 22, dan Allahyarham Muhamad Syafiq, 24, masing-masing turut menerima pampasan RM216,632 dan RM213,586 meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.
"Bukan nilai ratusan yang diutamakan tetapi untuk meringankan beban keluarga ... kita tidak boleh gantikan kesedihan (kehilangan ahli keluarga) dengan wang ringgit.
"Aspek kebajikan (ahli keluarga PDRM) kita jaga dan hal ini memperlihatkan hubungan polis (dengan keluarga) tidak terputus," katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram yang terbabit dalam kejadian itu turut menerima kenaikan pangkat secara medan iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan dinaikkan pangkat Sarjan, manakala Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.
Saifuddin Nasution berkata tindakan berani anggota dalam insiden itu membuktikan modul latihan yang diterima pelatih sebelum menjadi anggota dan pegawai polis adalah berkesan dalam menghadapi situasi kritikal.
"Hal ini memberi isyarat modul latihan kita mampu melahirkan anggota polis yang mampu menguruskan situasi kritikal dengan kematangan luar biasa.
"Modul latihan yang diberikan tidak ubah seperti operasi, cuti raya tidak boleh balik kampung bagi membiasakan mereka ... hasilnya anggota yang lulus menjadi anggota kompeten," katanya.
Beliau berkata modul latihan terbabit sentiasa berubah mengikut kesesuaian dengan perkembangan semasa.
Dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei lepas, Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Mohd Hasif cedera ditembak.
Susulan kejadian itu, polis menahan lima ahli keluarga suspek berumur 19 hingga 62 tahun mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
-- BERNAMA
#Balai Polis Ulu Tiram #serangan #anggota polis terkorban #naik pangkat #posthumous #PDRM
;