Insiatif Jalur dan Laluan beri manfaat kepada Malaysia - PM Najib

Bernama
Mei 14, 2017 08:55 MYT
Semasa pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatan di sini hari ini, tiga perjanjian persefahaman ditandatangani melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan serta Keme
Inisiatif Jalur dan Laluan memberi impak kepada golongan industri, peniaga, malahan petani dan pelajar di Malaysia apabila China komited untuk meningkatkan pelaburan bagi projek infrastruktur serta mengimport nanas dan menambah permintaan terhadap minyak sawit negara.
Semasa pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatan di sini pada Sabtu, tiga perjanjian persefahaman ditandatangani melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertanian dan Asas Tani.
Pada sidang media kemudiannya, Perdana Menteri berkata Inisiatif Jalur dan Laluan akan memberi manfaat kepada Malaysia seperti infrastruktur yang lebih baik, kesalinghubungan dan kemudahan sosial, taraf hidup yang lebih baik dan peluang perniagaan.
Antara projek utama inisiatif itu ialah Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) di Pahang, projek Melaka Gateway, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Universiti Xiamen Malaysia.
Sementara itu, Malaysia juga berjaya menembusi pasaran China dalam pengeksportan nanas dan sebagai permulaan, akan mengeksport sebanyak 12,000 tan metrik bernilai RM40 juta setahun ke China dari dua ladang yang telah diluluskan.
Najib berkata China juga telah menambah permintaan terhadap minyak sawit Malaysia sebanyak dua kali ganda berbanding sebelum ini.
Menurutnya, Presiden Xi menganggap hubungan Malaysia-China pada masa ini berada pada tahap paling tinggi dan beliau juga menghargai sokongan dan komitmen kerajaan Malaysia kepada Inisiatif Jalur dan Laluan.
Perdana Menteri berkata Malaysia juga menunjukkan komitmennya dengan segera melaksanakan beberapa projek yang dibincangkan semasa lawatan terakhir beliau ke China pada November lepas.
Selain itu, katanya, China tertarik dengan projek Maritim National Park di Melaka dan kampus Universiti Xiamen.
Presiden Xi juga memberitahu Najib bahawa kerajaan China akan menyokong mana-mana syarikat republik itu yang melabur di Malaysia asalkan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Perdana Menteri berkata kehadiran pelancong China di Malaysia juga meningkat dengan sasaran lebih tiga juta pelancong dari negara itu tahun ini.
Mengenai projek Bandar Malaysia, Najib berkata beliau memaklumkan kepada Presiden Xi bahawa projek tersebut akan diteruskan meskipun baru-baru ini TRX City Sdn Bhd syarikat milik penuh Kementerian Kewangan menolak cadangan pembelian 60 peratus saham dalam projek itu.
Terdahulu pada tengah hari, Najib mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Wanda Group, di sini, yang diura-urakan berminat membeli saham tersebut.
Beliau berkata apa juga penyelesaian yang dicapai akan dirujuk kepada kerajaan China kerana pelaburan itu perlu memenuhi ketetapan kerajaan negara tersebut.
Delegasi Malaysia, disertai antara lainnya Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
-- BERNAMA
#China #Jalur dan Laluan #Malaysia #Najib Razak #pelaburan #peniaga #Perdana Menteri #Xi Jinping
;