Insentif untuk majikan sediakan peluang bagi golongan OKU - TPM
Firdaus Azil
Mac 7, 2019 13:03 MYT
Mac 7, 2019 13:03 MYT
Kerajaan akan melihat kemungkinan untuk menyediakan insentif bagi mana-mana majikan yang menyediakan peluang pekerjaan dan prasarana bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, langkah itu dapat membantu majikan memberikan komitmen secara menyeluruh dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan golongan itu.
Katanya lagi, jumlah keseluruhan majikan sedia ada yang menyediakan peluang berkenaan tidak mencukupi untuk menampung jumlah tenaga kerja dari golongan OKU yang sedia ada.
"Sebab itu kita nak ambil langkah menyediakan latihan dan juga berikan satu insentif juga ,.. mana mana majikan untuk mengambil orang OKU sebagai satu polisi mereka secara menyeluruh dan secara komited,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke Sekolah Kebangsaan Putrajaya bagi meninjau kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta menyerahkan kad OKU kepada 10 murid di sekolah itu.
Mengikut kenyataan media kementerian, terdapat 336 murid sekolah menengah, dan 218 di sekolah rendah di bawah PPKI untuk Wilayah Putrajaya.
Manakala daripada jumlah itu 104 murid berada di SK Putrajaya Presint 9.
Bagi membantu golongan berkenaan, kementerian telah memperkenalkan kategori Pembelajaran dengan enam sub kategori - Global Development Delay (GDD), Down Syndrome, Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Autisme, Intelektual atau Specific Learning Disability (LD).
Dengan kewujudan kategori itu, kementerian berkata, ia dapat memberi peluang dan ruang kepada pembelajaran kanak-kanak OKU untuk mendapatkan intervensi dan pemulihan yang lebih khusus secara sistematik.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Kanak-kanak
#OKU
#pendidikan
#Putrajaya
#sekolah
#Timbalan Perdana Menteri
#TPM