Insentif RM480,000 kepada atlet Perak di Sukma XX MSN, Para ASEAN

Aida Aziz
November 2, 2022 08:33 MYT
Majlis Penyampaian Insentif Kepada Atlet Sukma XX MSN dan Para ASEAN Negeri Perak 2022, yang berlangsung di Ipoh semalam. - Foto Astro AWANI
IPOH: Sejumlah RM480,000 diperuntukkan bagi pemberian insentif kepada para atlet Sukan Malaysia (Sukma) XX MSN 2022 dan Para ASEAN negeri Perak.
Penyampaian insentif itu diberikan susulan kejayaan para atlet menerusi 21 kategori sukan masing-masing dalam mengharumkan nama Perak di Sukma XX MSN pada September lalu di Kuala Lumpur.
Termasuk atlet Para ASEAN yang membawa nama negara dan negeri di Surakarta, Indonesia, pada penghujung Julai lalu.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kesungguhan dan dedikasi para atlet yang terbabit wajar diberi penghargaan yang setimpal.
Katanya, pemberian insentif itu juga diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan penguat semangat untuk mereka lebih berjaya di masa hadapan.
"Saya yakin dan percaya, atlet-atlet yang berada di dewan ini telah memberikan yang terbaik dan memperlihatkan aksi yang maksimum apabila menyarung jersi negeri Perak.
"Pengorbanan sebagai atlet ini menuntut komitmen dan disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan tanpa mengenal jerih payah.
"Seperti pepatah lama Melayu ada menyebut, ‘patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku'.
"Penghargaan wajar saya berikan kepada semua atlet dan pengurusan pasukan di atas pengorbanan yang dicurahkan, semoga segala usaha dan keringat dibalas dengan kejayaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Penyampaian Insentif Kepada Atlet Sukma XX MSN dan Para ASEAN Negeri Perak 2022, di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Mazlan Mohamad.
Teks itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.
Dalam majlis itu, seramai 162 atlet, 62 jurulatih dan 21 pengurus menerima insentif bagi kategori sukan masing-masing, termasuk enam atlet bagi Para ASEAN.
Dalam pada itu, Saarani berkata, Perak berjaya memperoleh 27 pingat emas, 28 perak dan 46 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah 101 pingat.
Katanya lagi, 21 sukan telah membantu menyumbangkan pingat pada Sukma XX MSN 2022 dari 31 sukan yang disertai.
"Tiga sukan penyumbang utama kepada kontinjen Perak adalah Olahraga, Judo dan Muay Thai dengan kejayaan menyumbang empat pingat emas setiap sukan.
"Kerajaan negeri telah mengkhususkan insentif bagi atlet yang berjaya mengharumkan nama Perak pada Sukma, iaitu kategori individu pingat emas RM 5,000.
"Pingat perak RM3,000 dan gangsa RM1,000. Bagi kategori berpasukan pula pingat emas RM2,500, perak RM1,500 dan gangsa RM500.
"Bagi atlet Para ASEAN pula, kategori individu pingat emas RM3,000, perak RM1,500 dan gangsa RM1,200.
"Bagi kategori berpasukan pula pingat emas RM2,000, perak RM1,200 dan gangsa RM1,000," katanya lagi.
#insentif #SUKMA #Saarani Mohamad #atlet Perak
;