Insentif RM40,000 menanti pemenang pingat emas WSC 2024 di Lyon

Bernama
Jun 28, 2024 05:15 MYT
Steven Sim berucap pada Majlis Perasmian Road To Lyon 2024 di Cyberjaya semalam. --fotoBERNAMA
CYBERJAYA: Kerajaan menyediakan insentif khas wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas pada Pertandingan Kemahiran Dunia 2024 (WSC) di Lyon, Perancis pada Sept ini.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata insentif khas kepada peserta itu, sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan yang cemerlang pada WSC 2024.
Berucap pada majlis pelancaran Road to Lyon 2024 di sini pada Jumaat, beliau berkata pemenang pingat perak pula akan menerima ganjaran RM20,000, manakala pingat gangsa menerima RM10,000.
"Peserta yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan memungut pingat emas, perak dan gangsa akan turut dianugerahkan pengiktirafan berbentuk persijilan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang kemahiran masing-masing," katanya.
Pada WSC 2024, Malaysia diwakili oleh 15 orang belia berkemahiran terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara, yang akan bertanding dalam 14 bidang kemahiran daripada 62 bidang kemahiran dipertandingkan.
Sim berkata penyertaan kontinjen negara ke WSC 2024 dikelolakan oleh dua kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Kerja Raya.
"Sembilan bidang kemahiran diuruskan oleh KESUMA, manakala lima bidang kemahiran yang berkaitan industri pembinaan diuruskan KKR.
"Kedua-dua kementerian ini telah memperlihatkan suatu sinergi yang cukup hebat serta berganding bahu, dalam membuat persediaan dan menguruskan penyertaan pasukan Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa," katanya.
Sim berkata beliau menyasarkan kontinjen Malaysia meraih sekurang-kurangnya satu emas pada WSC 2024 dan mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen negara WSC Lyon 2024.
Sementara itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam kenyataan sempena majlis itu memaklumkan, pelbagai program latihan persediaan intensif dilaksana bagi memantapkan peserta bagi menghadapi cabaran pertandingan peringkat dunia kali ini.
"Pertandingan kemahiran menjadi platform bagi mengiktiraf tahap kemahiran belia dan pelajar dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), seterusnya memartabat dan mempromosi TVET Malaysia di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.
WSC 2024 akan diadakan bermula 7 hingga 16 Sept ini di Lyon, Perancis
-- BERNAMA
#pingat emas #WSC 2024 #insentif wang tunai #Road to Lyon 2024
;