Insentif pertama kali buat anggota sukarelawan, petunjuk baharu perhatian kerajaan
Bernama
Mac 31, 2023 12:43 MYT
Mac 31, 2023 12:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri bernilai RM300 kepada lebih 200,000 anggota sukarelawan agensi penguat kuasa dilihat sebagai petunjuk baharu bahawa kumpulan berkenaan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Aminurrahim Mohamed berkata ia juga adalah satu bentuk pengiktirafan kerajaan selain reaksi penghargaan kepada mereka yang sedia berbakti tidak kira masa.
"Saya anggap pemberian ini satu usaha kerajaan untuk berikan respons dan zahirkan rasa terima kasih kepada mereka yang mana sebelum ini tidak pernah dibuat atau diterima sukarelawan.
"Kami di APM mempunyai lebih ramai anggota sukarelawan iaitu kira-kira 10,000 berbanding anggota tetap di seluruh negara yang hanya 1,300. Jadi sememangnya kami sangat bergantung harap kepada mereka," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Datuk Yahya Sulaiman berkata pemberian insentif tambahan dalam Belanjawan 2023 itu merupakan aspirasi Malaysia MADANI yang direalisasikan kepada setiap kumpulan masyarakat termasuk anggota sukarelawan.
Beliau berkata ini menunjukkan kerajaan hari ini bukan hanya sekadar cakap kosong sebaliknya melaksanakan setiap apa yang dihasratkan dalam gagasan tersebut terutamanya dalam memastikan tiada golongan yang tercicir.
"Mereka (kerajaan) tidak hanya cakap, tetapi merealisaikannya. Ini menunjukkan elemen insan yang mengambil kira urusan manusiawi. Kita bekerja, kerajaan juga bekerja," katanya sambil menzahirkan terima kasih kepada kerajaan yang menghargai pengorbanan anggota sukarelawan RELA yang disifatkannya sebagai wira yang tidak didendang.
Pada masa sama, anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Balai Bomba Sukarela Beranang, Selangor, Mohd Yusof Shafee Mohamad, 44, berkata pemberian 'duit raya' berkenaan tentunya akan lebih menaikkan semangat untuk anggota sukarelawan bertugas.
Yusof Shafee yang memulakan perkhidmatan sebagai PBS pada 1998 itu bagaimanapun berharap agar lebih penjelasan diberikan terhadap siapa yang benar-benar akan menerima bantuan tersebut kerana menurutnya perkara tersebut masih menjadi persoalan dalam kalangan anggota sukarelawan bomba.
"Dalam bomba, selain PBS ada juga Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang kerjanya macam RELA. Ada kerja maka adalah gaji, tapi dia perlu kerja. Mereka ni asalnya adalah sukarelawan berbayar tapi macam sebelum ini, kalau kerajaan umumkan bonus misalnya, mereka tidak menerimanya," katanya.
Sementara itu, Sofea Ezzora Mohd Asri, anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) di Ibu Pejabat APM Kuala Lumpur berkata pemberian sagu hati RM300 itu merupakan satu penghargaan buat APM.
"Ia merupakan satu berita gembira dan perhatian yang tinggi buat APM terhadap kebajikan anggota APM seluruh negara," katanya.
Rabu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara berkata Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM300 kepada lebih 200,000 anggota sukarelawan RELA, APM, sukarelawan polis dan bomba.
Beliau dipetik sebagai berkata pemberian insentif itu dibuat setelah hasil penelitian Belanjawan 2023 mendapati ada kategori yang tidak menerima manfaat yang sama membabitkan mereka dalam kalangan bukan pekerja tetap.
-- BERNAMA
#Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri
#anggota sukarelawan agensi penguat kuasa
#APM
#Aminurrahim Mohamed