Insentif pengecualian LKM bagi kenderaan elektrik dan OKU
Bernama
Februari 14, 2022 05:50 MYT
Februari 14, 2022 05:50 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) sepenuhnya untuk kenderaan motor elektrik (EV) dan kenderaan motor untuk Orang Kurang Upaya (OKU).
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam kenyataan semalam berkata kenderaan motor elektrik akan menikmati pengecualian itu bermula 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2025.
"Pengecualian fi LKM hanya diberikan kepada kenderaan EV sama ada dikuasakan oleh bateri atau 'fuel cell' (sel bahan api)," katanya dan menambah permohonan untuk pengecualian itu akan bermula hari ini (15 Feb).
Wee berkata pengecualian itu tidak terpakai untuk kenderaan hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol atau diesel.
Mengenai kenderaan motor milik OKU, Wee berkata pengecualian fi LKM sepenuhnya hanya terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubah suai khas untuk kegunaan OKU.
Bagi kenderaan motor yang tidak diubah suai, Wee berkata pengecualian hanya diberikan kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan kereta nasional.
"Kenderaan motor terbabit yang layak hendaklah didaftarkan dan dilesenkan atas nama individu OKU berkaitan dan OKU hendaklah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Beliau berkata pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan dan dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga berdaftar dan mempunyai anak OKU serta suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat OKU terbabit juga telah berdaftar dengan JKM.
Permohonan bagi pengecualian itu akan bermula pada 15 Mac 2022, katanya.
Wee berkata mana-mana pemilik kenderaan yang layak dengan pengecualian berkenaan dan telah memiliki lesen kenderaan motor sama ada baharu atau diperbaharui selepas 1 Jan 2022, iaitu sebelum tarikh permohonan bagi kedua-dua pengecualian itu dimulakan, boleh menyerahkan semula LKM mereka ke kaunter JPJ dan berhak dibayar dengan rebat.
"Pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir dan menyerahkan balik LKM tersebut dan berhak dibayar dengan cara rebat apa-apa amaun sebagaimana ditetapkan. Seterusnya, pemilik kenderaan atau wakil boleh memohon bagi mendapatkan pengecualian LKM semula ke atas kenderaan mereka," katanya.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022 Oktober tahun lepas, mengumumkan bahawa kerajaan akan membayar sepenuhnya Lesen Kenderaan Motor bagi semua kenderaan persendirian milik OKU.
EV juga mendapat rangsangan daripada pelbagai pengecualian menerusi Belanjawan 2022 termasuk pengecualian penuh duti import, duti eksais, cukai jualan dan 100 peratus pengecualian cukai jalan.
-- BERNAMA