Insentif khas PTPTN untuk ibu bapa pelajar tahun satu

Wan Syamsul Amly
September 7, 2017 13:35 MYT
Keistimewaan itu selaras pengumuman Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2017 tahun lalu.
Pendeposit yang membuka atau menambah Ibu bapa pelajar tahun satu yang membuat simpanan di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i atau SSPN-i Plus) tahun ini akan menerima pemberian insentif Khas Geran Sepadan iaitu deposit percuma bernilai RM50.
Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid berkata, keistimewaan itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2017 tahun lalu.
"Sehingga 31 Julai lepas, hanya 5 peratus daripada pelajar tahun satu yang telah menerima simpanan percuma itu dan diharap baki beberapa bulan lagi bagi 2017 ini diambil peluang sepenuhnya oleh ibu bapa.
"Simpanan ini ada banyak kelebihan, bukan sahaja percuma RM50 bagi ibu bapa pelajar tahun satu tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai anak tahun satu akan mendapat banyak manfaat seperti pemberian dividen yang kompetetif, pelepasan taksiran cukai tahunan, perlindungan takaful dan lain-lain lagi," katanya semasa Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bulanan 20 Tahun di Sekolah Kebangsaan TUDM Subang di sini hari ini.
Pada majlis sama, juruterbang, Mohd Ashik Abdullah diumum pendeposit bertuah untuk anaknya Muhammad Salahuddin yang berumur tujuh tahun sebagai pemenang cabutan bulanan 20 tahun PTPTN.
Mohd Ashik menerima hadiah simpanan berjumlah RM10,000.
Dalam pada itu kata Mastura, pemberian insentif itu merupakan salah satu bentuk galakan penabungan terutamanya kepada ibu bapa agar memulakan simpanan daripada kecil demi kecemerlangan pendidikan anak-anak pada masa hadapan.
Jelasnya lagi, lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 telah disediakan untuk pendeposit SSPN-1 dan SSPN-i Plus semasa pelancaran Cabutan WOW!20 Tahun PTPTN.
"Cabutan ini merangkumi cabutan bulanan dan istimewa sempena ulang tahun ke-20 PTPTN dan tanda penghargaan selain dorongan serta galakan kepada masyarakat yang ingin menyimpan dengan PTPTN.
"Pendeposit SSPN-i Plus layak memenangi hadiah utama cabutan istimewa sebanyak RM100,000 manakala pendeposit SSPN-i dan SSPN-i Plus pula layak memenangi hadiah utama cabutan bulanan sebanyak RM10,000 pada setiap bulan.
"Cabutan bulanan juga khusus untuk pembukaan akaun atau penambahan simpanan bagi pelajar tahun satu 2017," ujarnya.
Dalam pada itu Mohd Ashik menjelaskan, peningkatan kos pendidikan negara menjadi pendorongnya membuat simpanan untuk anaknya.
"Oleh sebab itu saya terdorong untuk membuka akaun untuknya dan menyimpan dari dia kecil supaya saya tidak bergantung sepenuhnya kepada pinjaman atau biasiswa lain semasa di universiti kelak," katanya.
Sehingga 31 Julai lepas, sebanyak tiga juta akaun dibuka dengan jumlah deposit simpanan adalah sebanyak RM2.89 bilion.
#Bajet 2017 #Najib Razak #Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional #PTPTN #Skim Simpanan Pendidikan Nasional #SSPN-i Plus
;