Insentif Kerjaya Madani 2023 galak majikan menggaji kumpulan sasar - MEF

Bernama
April 20, 2023 04:30 MYT
Syed Hussain turut mencadangkan banduan diberi latihan kemahiran yang sesuai serta menepati keperluan industri semasa menjalani hukuman masing-masing supaya peluang pekerjaan kepada mereka terbuka luas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Insentif Kerjaya Madani 2023 melalui Program Daya Kerjaya akan menggalakkan majikan menggaji kumpulan sasar dalam masyarakat yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata hal ini sekali gus dapat menangani isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing serta mengekalkan daya saing Malaysia.
"Di bawah program Dana Kerjaya, majikan yang menggaji belia yang telah lama menganggur, Orang Asli, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU), miskin tegar, parol, bekas banduan dan lepasan latihan vokasional (TVET) akan menerima insentif kewangan.
"Inisiatif ini tentunya dapat membantu kumpulan sasar berkenaan yang menghadapi pelbagai halangan dalam usaha untuk mendapatkan pekerjaan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata usaha ini juga selari dengan inisiatif kerajaan dalam membantu menangani pengangguran di bawah Belanjawan 2023, iaitu sebanyak 35,000 peluang pekerjaan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi golongan belia dan graduan TVET.
Syed Hussain turut mencadangkan banduan diberi latihan kemahiran yang sesuai serta menepati keperluan industri semasa menjalani hukuman masing-masing supaya peluang pekerjaan kepada mereka terbuka luas.
Beliau berkata selain menangani isu kekurangan tenaga kerja semasa, usaha itu membantu dalam pemulihan dan mengintegrasikan semula golongan itu dalam masyarakat sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak semula dalam aktiviti jenayah.
Katanya, peluang pekerjaan juga penting buat OKU kerana kumpulan ini mewakili sumber kemahiran dan bakat yang belum diterokai sepenuhnya serta penggajian OKU dapat menyumbang kepada keseluruhan pasaran buruh serta kepelbagaian, kreativiti dan semangat kerja.
Insentif Kerjaya Madani yang dilancarkan pada 13 April lepas, menumpukan kepada tiga elemen iaitu Program Daya Kerjaya, selain Daya Kerjaya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Program Bina Kerjaya.
Penyediaan insentif melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan peruntukan RM313 juta itu ialah kesinambungan kepada inisiatif di bawah Belanjawan 2023 yang menumpukan usaha meningkatkan peluang serta penempatan pekerjaan kepada pelbagai kumpulan sasar.
Mengenai Program Bina Kerjaya, Syed Hussain berkata ia akan meningkatkan potensi individu bekerja sendiri dalam sektor tidak formal untuk memperoleh pekerjaan formal dilaksanakan melalui pengajian sama ada di institusi pengajian awam atau swasta yang diiktiraf.
"Antaranya, Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) adalah satu usaha untuk memastikan pekerja yang selama ini tidak ada persijilan kemahiran berpeluang untuk berbuat demikian dan usaha ini akan pada akhirnya memberi peluang kepada semua pekerja yang tidak berupaya mengikuti latihan di bilik darjah dapat diiktiraf kemahiran mereka melalui RPEL.
"Usaha berterusan meningkatkan kemahiran pekerja dan juga melatih semula pekerja (seterusnya) digandingkan dengan penglibatan majikan untuk memperkenalkan digitalisasi dan automasi dalam proses dan operasi mereka akan dapat meningkatkan produktiviti dan meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa," katanya.
Program Bina Kerjaya, antaranya melibatkan pengajian RPEL, kursus jangka pendek atau pensijilan profesional atau kompetensi yang diiktiraf institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), badan iktisas serta pusat bertauliah diiktiraf badan peneraju industri.
Ia membabitkan kadar tanggungan bayaran latihan hingga RM4,000 dan elaun RM300 sebulan bagi tempoh maksimum untuk tiga bulan.
-- BERNAMA
#TVET #Insentif Kerjaya Madani 2023 #MEF #latihan kemahiran untuk banduan
;